Samy Vellu enggan komen pemilihan jawatan tertinggi MIC

Bernama
Ogos 15, 2013 10:30 MYT
Bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu enggan memberi sebarang komen berhubung pemilihan jawatan tertinggi parti itu September ini.
Menganggap dirinya kini hanyalah anggota biasa, bekas presiden paling lama MIC itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada anggota dan pemimpin parti untuk membuat keputusan.
"Saya tak mahu komen apa-apa tentang MIC kerana saya percaya masanya tidak sesuai untuk membuat apa-apa kenyataan. Saya tunggu sahaja siapa jadi calon dan siapa yang menang," katanya selepas melancarkan biografi tokoh veteran MIC dan aktivis sosial Tan Sri Devaki Krishnan bertajuk 'Tan Sri Devaki Krishnan: With Elegance and Commitment' di sini Rabu.
Biografi setebal 192 halaman itu, antara lain, menceritakan kisah hidup dan penglibatan Devaki dalam aktiviti berpersatuan serta perjuangannya bersama MIC.
Bahang pemilihan jawatan presiden pada 22 Sept ini bertambah hangat apabila Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam memberi reaksi positif berhubung spekulasi yang beliau akan bertanding merebut jawatan itu.
Pemilihan jawatan lain seperti timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pula diadakan pada November atau Disember ini.
#MIC #samy vellu
;