Samun warga emas sehingga maut, penganggur direman tujuh hari

Shuhada Abdul Kadir
Januari 21, 2023 13:02 MYT
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh dengan dikawal ketat oleh sepasukan pegawai dan anggota polis. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang penganggur direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas dipercayai membunuh seorang wanita warga emas dalam kejadian samun di Kampung Pulai Darat, Jasin semalam.
Perintah tahanan reman sehingga Jumaat depan terhadap suspek berusia 20 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Zuraidah Abu Bakar.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh dengan dikawal ketat oleh sepasukan pegawai dan anggota polis.
BACA: Rumah dipecah masuk, warga emas 'Mak Misah' maut disamun
Penahanan suspek itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, Astro AWANI melaporkan seorang warga emas maut selepas kediamannya dipecah masuk dalam kejadian samun di Kampung Pulai Darat, Jasin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Jumaat itu, mangsa Misah Md Amin, 91, ditemukan dalam keadaan terbaring di bahagian dapur rumahnya.
Jenayah | Warga emas maut dipercayai mangsa samun
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 3.54 pagi berhubung kejadian itu sebelum pasukan polis kemudian berjaya menahan suspek di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian.
Katanya, suspek yang ditahan itu juga mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak dan samun.
#penganggur direman #warga emas maut #Jasin
;