Samun warga asing: Geng Ah Boon tumpas, 3 ahli kumpulan ditahan
Afiezy Azaman
Januari 20, 2021 06:06 MYT
Januari 20, 2021 06:06 MYT
SERDANG: Tiga ahli kumpulan Geng Ah Boon yang terlibat dalam kes samun warga asing ditahan, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Baru Dengkil, Selangor.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 43 tahun.
“Mereka dipercayai terlibat dengan kes samun di tapak pembinaan berhampiran LRT Bandar Puteri, Puchong membabitkan mangsa seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di situ.
“Polis turut merampas lima pisau, sebilah parang, lima telefon bimbit dan kereta perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan, pada lewat malam Rabu.
Mengulas lanjut, Razali berkata suspek mengaku terlibat dengan jenayah samun dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
“Semua suspek direman lima hari sehingga 24 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
#Geng Ah Boon
#geng samun
#kes samun warga asing
#Ketua Polis Daerah Serdang
#Razali Abu Samah
#tapak pembinaan
#LRT Bandar Puteri