Samsudin Osman dilantik Presiden UIAM ke-9
Bernama
Julai 1, 2022 15:14 MYT
Julai 1, 2022 15:14 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Sime Darby Berhad, Tan Sri Samsudin Osman dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kesembilan, bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini.
UIAM dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini memaklumkan, pelantikan Samsudin bagi menggantikan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang tamat tempoh sebagai Presiden UIAM kelapan itu, telah mendapat perkenan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
Samsudin, 75, pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Negara dari 2001 hingga 2006 dan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selama 13 tahun, sehingga persaraannya pada awal 2020.
Sementara itu, Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam kenyataan itu dipetik sebagai berkata, pelantikan Samsudin diharap dapat memantapkan lagi pembangunan universiti, yang akan menyambut ulang tahunnya ke-40 tahun hadapan.
"Berbekalkan pengalaman sektor awam dan korporat, Samsudin akan dapat membawa UIAM ke tahap lebih tinggi, yang mana boleh dijadikan panduan warga UIAM menempa lebih banyak kejayaan serta memacu UIAM menjadi universiti lebih disegani di peringkat antarabangsa.
"Menjunjung Kasih juga kami warga Universiti zahirkan kepada Tunku Ketua Perlembagaan UIAM atas perkenan lantikan tersebut," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, UIAM turut menyampaikan setinggi penghargaan terima kasih kepada Mohd Daud, atas sumbangan serta jasanya sepanjang menerajui universiti sebagai Presiden sebelum ini. - BERNAMA