Sampel tertunggak ujian COVID-19 Sabah selesai minggu ini
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 2, 2020 20:52 MYT
November 2, 2020 20:52 MYT
KOTA KINABALU: Tunggakan keputusan lebih 6,000 sampel ujian COVID-19 di Sabah dijangka diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, jumlah itu adalah lebih separuh daripada 11,000 sampel ujian yang prosesnya belum diselesaikan.
"Sehingga hari ini sebanyak 6,139 sampel ujian COVID-19 di Sabah sudah dihantar ke makmal dan masih menunggu untuk diproses.
"Ini termasuk sampel yang dihantar ke makmal-makmal swasta dan kapasiti makmal adalah di tahap maksimum pada masa ini.
"Tunggakan (keputusan) sampel ujian ini dijangka akan dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari lagi," katanya dalam sidang media maya yang diadakan di Kota Kinabalu pada Isnin.
Sementara itu, mengenai perkembangan semasa situasi COVID-19 di Sabah, Masidi berkata berlaku penurunan kes di beberapa daerah dengan dua kematian serta satu kluster baharu dikesan.
"Jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 503 kes iaitu menurun sebanyak 101 kes berbanding semalam.
"Dua kes kematian dicatatkan hari ini iaitu masing-masing di Sandakan dan Kota Kinabalu dan Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 149 kes diikuti Tawau (138) dan Putatan (42).
"Pada hari ini terdapat satu kluster baharu di Tawau iaitu Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang mencatatkan sebanyak 104 kes hasil saringan tahanan yang dibuat," katanya.
Tambahnya kerajaan juga telah bersetuju memberikan kelonggaran keluar masuk di semua lokaliti di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kecuali Penjara Kepayan dan PTS Menggatal.
"Seorang wakil dari setiap rumah dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran PDRM khusus untuk mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau bank selain membeli keperluan asas serta barangan bukan makanan," katanya.