Sampel rambut digunakan untuk kesan dadah bagi calon ingin sertai PDRM

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 29, 2017 17:02 MYT
Polis akan tapis penggunaan dadah di kalangan calon anggota menggunakan sampel rambut mulai 2018 - Abdul Rahim Hanafi.-foto Astro AWANI
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan sampel rambut dalam usaha mengesan penggunaan dadah di kalangan individu yang ingin menyertai pasukan itu mulai 2018.
Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, kaedah itu akan diguna pakai bagi memastikan tiada penagih dadah di kalangan pegawai serta anggota polis.
'Anggota polis yang terlibat dadah ini, 25 peratus daripada mereka sudah mula mengambil dadah sebelum menyertai polis.
'Kita tidak boleh kesan sebab tidak ada mekanisme yang mantap dan kita akan berusaha dapatkan mekanisme yang mantap supaya boleh mengesannya mulai tahun 2018,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang, di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Beliua berkata, pihaknya memandang serius masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pegawai serta anggotanya dan akan memastikan perkara itu dapat dibendung sepenuhnya pada masa hadapan.
'Selain syarat-syarat fizikal, kami juga akan nilai psikometrik, psikomotor dan sebagainya.
'Kita cuma cadangkan penggunaan teknologi rambut dan pihak pengurusan akan bincang,'' ujarnya.
Abdul Rahim berkata, sejak 2010 hingga November tahun ini, seramai 2,738 anggota polis didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komesil Bukit Aman, Datuk A.Thaiveegan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baru mengantikan Datuk Chuah Ghee Lye yang bersara wajib.
#Abdul Rahim Hanafi #Bukit Aman #calon #Dadah #jenayah #JIPS #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia #rambut kesan dadah #siasatan
;