Sampel organ gajah betina mati di Ulu Tungku dihantar ke Jabatan Kimia

Zulhafiiz Brahim
Mac 11, 2022 19:18 MYT
Menurut Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Sylvester Saimin, siasatan awal pihaknya menemukan terdapat kandungan kadmium pada bangkai gajah tersebut.
LAHAD DATU: Beberapa sampel organ gajah betina yang ditemukan mati di Ulu Tungku, Lahad Datu baru-baru ini telah dihantar ke Jabatan Racun Negara dan Jabatan Kimia untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, menurut Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Sylvester Saimin, siasatan awal pihaknya menemukan terdapat kandungan kadmium pada bangkai gajah tersebut.
"Kita sudah melakukan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan kita sudah mengambil beberapa sampel seperti hati, jantung, buah pinggang dan lain-lain dan dihantar untuk analisa di Jabatan Racun Negara dan Jabatan Kimia," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Seekor gajah betina ditemukan mati terdampar di sebuah ladang di Ulu Tungku, Lahad Datu pada tiga hari lepas dengan separuh badan mamalia itu berada di dalam air.
Tambah beliau, perkara itu turut menimbulkan kerisauan apabila gajah Borneo kini diambang kepupusan.
Katanya, usaha pemuliharaan turut diperhebat di samping kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita juga bekerjasama dengan WWF dalam membantu pemasangan kolar satelit pada gajah Borneo di negeri ini," katanya.
#gajah betina #bedah siasat #gajah betina dibunuh #Lahad Datu
;