Sampel kuih limas dengan gumpalan rambut dihantar ke makmal

Bernama
April 14, 2022 20:37 MYT
Keterangan dari pembeli dan penjual telah diambil dan kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281). - Gambar/ Media sosial
IPOH: Sampel makanan kuih limas yang tular dalam media sosial kerana penemuan gumpalan rambut di dalamnya didakwa dibeli di Bazar Ramadan Teluk Intan akan dihantar untuk analisis makmal bagi tujuan siasatan kes.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata keterangan dari pembeli dan penjual telah diambil dan kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281).
"Pemeriksaan premis makanan turut dilakukan di tempat menjual makanan tersebut serta di tempat memproses makanan (rumah penjual), dan kedua-dua premis dikategorikan sebagai 'bersih'," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas gambar tular dengan kapsyen antara lain menyebut 'Sehelai rambut boleh dimaafkan, tetapi ini segumpal rambut. Peniaga yang menyediakan juadah perlu memastikan kebersihan' sambil dilampirkan gambar kuih dan gumpalan rambut tersebut.
Mohd Akmal berkata kesemua 84 lot premis di Bazar Ramadan Teluk Intan juga telah diperiksa dan tiada notis kompaun dikeluarkan namun sebanyak 254 pengendali makanan diberi penerangan berkaitan Pendidikan Kesihatan.
Beliau berkata pensampelan makanan untuk analisis makmal akan dilakukan di bazar Ramadan tersebut terutamanya terhadap makanan yang disediakan di rumah.
Menurutnya, hasil daripada aktiviti pemeriksaan bazar Ramadan di negeri Perak sehingga semalam, sebanyak 13 notis kompaun telah dikeluarkan daripada 1,545 premis yang diperiksa dan hanya satu aduan membabitkan kes kuih limas diterima setakat ini.
-- BERNAMA
#kuih limas #tepung pelita #gumpalan rambut #Bazar Ramadan
;