Sampel bukti kebakaran di Baling dihantar makmal - Bomba

Sinar Harian
Januari 16, 2025 16:44 MYT
Siasatan menyeluruh sudah dilakukan di lokasi kejadian berlaku antara 24 Disember tahun lalu sehingga 12 Januari baru-baru ini. -Gambar hiasan
SUNGAI PETANI: Sampel bahan bukti di lapan lokasi kebakaran yang berlaku di Baling telah dihantar ke makmal penyiasatan kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang untuk dianalisis.

Ringkasan AI
  • Sampel bahan bukti dari lapan lokasi kebakaran di Baling telah dihantar ke makmal penyiasatan kebakaran JBPM Pulau Pinang untuk dianalisis.
  • Kebakaran tersebut menyebabkan kerosakan kepada sebuah rumah kedai, tujuh rumah kediaman, 11 motosikal, dan dua buah kereta.
  • Penduduk di Baling dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita tidak benar mengenai kebakaran dan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak bomba atau polis.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, siasatan menyeluruh sudah dilakukan di lokasi kejadian berlaku antara 24 Disember tahun lalu sehingga 12 Januari baru-baru ini.
Menurutnya, lapan kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah kedai, tujuh rumah kediaman, 11 motosikal dan dua buah kereta musnah," katanya.
"Setiap butiran dan laporan lengkap yang siap akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Setakat laporan diterima, JBPM Kedah hanya menerima lapan laporan kejadian kebakaran di Baling dan mungkin kejadian itu lebih daripada itu tetapi membabitkan kebakaran kecil sahaja," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan anggota dan pegawai di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, di sini.
Jelas Awang Hidzel, orang ramai terutama penduduk di daerah Baling dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita tidak benar di media sosial berkaitan kebakaran yang berlaku.
"Orang ramai diminta mendapatkan maklumat sebenar melalui pihak bomba atau pun polis dan jangan sebar berita boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai," ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis mengklasifikasikan misteri kejadian kebakaran yang berlaku secara berturutan di Kupang adalah perbuatan khianat.
Bagaimanapun, pada 12 Januari lalu, satu lagi kebakaran misteri berlaku membabitkan sebuah rumah di Kampung Charuk Kapas, Kupang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #Sampel bahan bukti #lapan lokasi kebakaran di Baling #rumah kedai
;