Sampai masa untuk laksa diperkenal di peringkat antarabangsa - Mohd Rawi
Astro Awani
Jun 2, 2014 09:36 MYT
Jun 2, 2014 09:36 MYT
Penganjuran Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi (LILAC) buat kali ketiga berturut-turut pada tahun ini telah menjadikan acara berprestij itu mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.
Penyertaan pengusaha laksa dalam dan luar negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina dalam LILAC 2014 yang berakhir semalam dengan tema 'World of Laksa - Laksalicious' turut meraikan seni, bakat dan personaliti yang terlibat di dalam penghasilan laksa.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Agama negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yang merasmikan karnival itu berkata, sudah sampai masanya laksa diangkat menjadi salah satu makanan negara untuk dipromosi ke serata dunia.
Tambah beliau, LILAC perlu dijadikan kebanggaan negara kerana ianya merupakan satu-satu acara di rantau ini yang mengumpulkan pelbagai jenis laksa yang terdapat di negara ini dan juga dari luar negara.
“Menghimpunkan banyak jenama laksa daripada pelbagai negara, seperti dari Indonesia, Thailand dan Vietnam bukan sahaja boleh mengharumkan nama Langkawi tetapi boleh mengangkat martabat laksa sebagai satu makanan eksotik untuk dinikmati oleh masyarakat antarabangsa.
“Kalau Thailand boleh terkenal dengan tom yam, Indonesia dengan ayam penyet... Sampailah masanya kita membawa satu satu lagi jenama produk makanan ke peringakat antarabangsa seperti sate,” katanya.
Selain itu, penganjuran karnival laksa ini adalah untuk mempromosi keistimewaan, keunikan dan keharmonian adat, budaya serta masyarakat di Malaysia melalui acara masakan dan kulinari kepada para pelancong.
Pelbagai acara diatur sepanjang tiga hari LILAC berlangsung pameran, persembahan teh tarik, pertandingan memasak laksa dan dimeriahkan dengan kehadiran MasterChef Malaysia, Chef Zubir dan Chef Joe.
Rata-rata peserta yang menyertai LILAC yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu merasai pengalaman unik dengan dapat melihat sendiri pelbagai jenis laksa daripada pelbagai budaya selain memperkenalkan laksa mereka sendiri.