Sampai bila mahu tunjuk lagak tapi berjiwa hamba?
Hisyam Basabah
Julai 26, 2020 09:18 MYT
Julai 26, 2020 09:18 MYT
“APA punya bahalol dia
Kasi orang pijak kepala
Orang putih sudah balik
Kini tinggal yang hitam putih
Biar papa asal bergaya
Bukan musim bukan nak 'action'”
Keras, liar dan bersifat jalanan secebis daripada lirik lagu Bahalol dendangan kumpulan XPDC, salah sebuah kumpulan metal terkemuka Malaysia.
Mungkin lirik lagu sebegini tidak boleh diterima oleh golongan yang dianggap terpelajar atau mereka yang sarat dengan “kesopanan” yang cukup tinggi.
Ditambah pula dengan tajuk yang dianggap segelintir masyarakat kita sebagai kata-kata yang kurang sopan sekalipun perkataan 'bahalol' itu merujuk salah seorang ilmuan tersohor Islam.
Kita tinggalkan sebentar polemik berhubung nama 'bahaloul' dan 'bahalol' yang seerti dengan kata makian kerana berdasarkan lirik lagu ini ada perkara yang lebih besar perlu kita perhalusi.
Secebis lirik lagu ini yang dianggap liar dan jalanan mempunyai isu yang cukup besar iaitu sifat masyarakat yang menyanjung tinggi budaya Barat sehingga sanggup menghabiskan belanja semata-mata mahu mencontohi kehidupan nafsu nafsi tajaan Barat.
Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako pernah berpesan di dalam bukunya yang bertajuk Budak Beca bahawa “…kita kaum Melayu di negeri Melayu ini pada hakikatnya tidak ada yang kaya.
"Kita semuanya miskin, bukan pada harta benda tetapi pada serba serbi.
"Kita yang sebenarnya sudah bankrap, harta tidak ada, budi bahasa tidak ada, kasih sayang antara satu sama lain tidak ada, amanah tidak ada, ilmu kepandaian tidak ada, hemah dan cita-cita mulia tidak ada.
"Yang ada pada kita hanyalah aksi, tunjuk gaya, tunjuk lawa!”
Mungkin kata-kata ini tidak dipersetujui oleh segelintir pejuang bangsa kerana dianggap merendahkan bangsa Melayu.
Mungkin ya kenyataan tersebut berbaur merendahkan bangsa sendiri seperti mana kritikan pedas Pendeta Za’ba kepada bangsa Melayu lewat bukunya yang bertajuk "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri."
Tapi perlu diingat betapa ubat sifatnya pahit dan memualkan namun perlu diambil untuk kembali sihat atau mengekalkan kesihatan.
Walau bagaimanapun hati-hati dalam menafsir dan menghukum dengan pandangan skeptikal bahawa semua orang Melayu bersifat sedemikian.
Pandangan skeptikal dan stereotaip yang tidak dididk dengan akal dan kebijaksanaan akan melahirkan sifat prejudis, manakala sifat prejudis pula akhirnya akan menghasilkan benih kerosakan yang bernama diskriminasi.
Diskriminasi ini yang menyebabkan bangsa Melayu dianggap sebagai bangsa yang tertinggal kerana sepanjang pendudukan British di negara ini selama kurang lebih 180 tahun, bangsa Melayu adalah bangsa yang teruk dibadai diskriminasi, semata-mata tidak mahu mereka tumbuh dan membesar dengan ilmu yang akhirnya menyebabkan penentangan kepada penjajah British.
Melayu yang diperkatakan oleh Pak Sako, Pendeta Za’ba dan lirik lagu Bahalol nyanyian kumpulan XPDC ini perlu dibidik kepada Melayu liberal yang tidak mempunyai jati diri serta terpesona dengan kilauan fatamorgana betapa ketamadunan Barat itu adalah sesuatu yang unggul.
Dewasa ini, golongan Melayu liberal pengagung budaya Barat kian tumbuh melata di negara yang mempunyai sejarah tradisi dan warisan yang cukup panjang ini.
Mungkin akibat pendidikan Barat, mungkin juga pengaruh media massa, atau mungkin ledakan globalisasi yang tidak mampu ditahan oleh apa pun.
Namun untuk menyalahkan pendidikan adalah suatu perkara yang tidak adil sama sekali, kerana pendidikan yang tinggi itu hanya dapat dilihat hasilnya melalui adab dan akhlak si penuntutnya.
Melayu yang mempunyai ideologi liberal ini tidak rigid kepada sesebuah status pendidikan atau sosial sahaja.
Melayu liberal ini muncul sama ada yang mempunyai pendidikan tinggi atau tidak, yang mempunyai status ekonomi dan sosial atau bergelimpang melarat di lorong-lorong gelap.
Kelahiran golongan liberal yang berkiblatkan ketuanan Barat ini perlu dihentikan melalui usaha holistik pihak pemerintah.
Sebagai sebuah negara berdaulat, hanya pemerintah sahaja yang mempunyai kuasa dan keupayaan bersifat “vertikal” dalam membendung penularan kebudayaan liberal.
Salah satunya adalah dengan sistem pendidikan yang berorientasikan kebudayaan nasional yang tidak hanya cantik terpatri di atas kertas namun perlu juga melalui usaha yang kritikal melalui perlaksanaan skala mega.
Pendaulatan Bahasa Kebangsaan tidak hanya melalui penggunaan Bahasa Melayu di dokumen rasmi kerajaan, malahan nama tempat yang bersifat penjajah juga perlu diubah kembali kepada nama yang bercirikan Malaysia.
Baru-baru ini PERZIM mencadangkan agar nama Bukit St Paul di Melaka ditukarkan kembali kepada nama asalnya Bukit Melaka.
Sudah pasti ia menimbulkan pelbagai polemik yang berbaur politik namun seharusnya perkara ini tidak perlu dipolitikkan apatah lagi nama yang hendak ditukar itu adalah nama asal bagi bagi bukit St Paul tersebut.
Nama-nama seperti Georgetown di Pulau Pinang perlu diubah kembali kepada nama asalnya Tanjung juga tempat-tempat lain yang bernama ala penjajah.
Ini kerana, secara tidak langsung ia menunjukkan betapa jati diri yang kukuh oleh setia warganegara perlu bermula dengan penjenamaan kembali kepada nama asalnya.
Sudah tiba masanya setelah 63 tahun kemerdekaan negara, nama-nama yang berbaur penjajah ini ditukar kembali kepada nama asalnya.
Suatu pembohongan besar apabila kita menyatakan bahawa Francis Light manusia pertama yang membuka Pulau Pinang serta suatu dongeng yang cukup memilukan apabila kita masih lagi mengangkat Yap Ah Loy sebagai orang yang berjasa membuka Kuala Lumpur sehingga menjadi antara kota termoden di dunia.
Hal ini kerana orang Melayu adalah penduduk yang telah beratus tahun malahan jika dibuktikan melalui penemuan di Sungai Batu menunjukkan bahawa bangsa Melayu ini telah wujud ribuan tahun di rantau kepulauan Nusantara dan lebih tepat di Tanah Melayu ini, masakan orang lain membuka tanah yang telah mempunyai tuan?
Kita terlalu teruja untuk tunjuk lagak dengan mengangkat warisan penjajah untuk diabadikan sebagai produk pelancongan kita semata-mata kerana beranggapan bahawa kebudayaan Barat itu bersifat sejagat, namun sedarkah bahawa para pelancong ke negara kita sebenarnya datang untuk melihat warisan dan kebudayaan kita?
Mereka ingin melihat Mendam Berahi dan Lancang Kuning, bukannya Flor De La Mar!
Mereka ingin melihat kota-kota pertahanan dan istana kerajaan Melayu bukan semata-mata mahu melihat Stadthuys, Margherita, Kellie’s Castle atau A Famosa.
Tidak juga penulisan ini menyeru agar bangunan-bangunan tersebut dimusnahkan, namun binaan warisan asal negara ini perlu kepada pemerkasaan jitu melalui promosi yang jauh lebih hebat berbanding promosi yang dijalankan terhadap bangunan dan kota tinggalan penjajah tersebut.
Pemikiran mengagungkan budaya Barat secara fatal telah merasuk kebanyakan masyarakat di negara kita dengan tragis.
Tragisnya pemikiran masyarakat adalah apabila melihat segala yang dibawakan oleh Barat itu bersifat sejagat dan sepunya.
Untuk kelihatan cerdik harus menyelitkan terma-terma berbahasa Inggeris dalam perbualan dan untuk kelihatan moden perlu menginggeriskan atau mengantarabangsakan nama-nama tempat dan kawasan perumahan sedangkan ia adalah suatu perbuatan yang “berlagak” namun jelas berjiwa hamba, hamba kepada pemikiran Barat yang telah berjaya merasuk pemikiran anak bangsa supaya sentiasa memandang mereka lebih tinggi dan unggul dari budaya dan warisan bangsa sendiri.
Tidak ada satu pun bangsa dan empayar hebat yang pernah lahir di atas muka bumi ini menyingkirkan kebudayaan dan warisan sendiri.
Sudah cukup rasanya berlagak “orang putih” kerana ia hanya merugikan diri sendiri dan generasi yang akan mewarisi bumi bertuah ini.
Mungkin banyak pihak yang pernah menyuarakan isu ini, namun usaha menyuarakan isu berkenaan kemerdekaan dari jiwa hamba ini perlu berterusan.
Keazaman politik dari pihak pemerintah selain ahli-ahli politik di negara ini juga amat dituntut agar Malaysia yang mempunyai jati diri ampuh dapat dilahirkan kembali.
Usah berbicara soal perpaduan nasional sekiranya masih terkial-kial dalam perkara asas untuk mewujudkan jati diri sepunya warga Malaysia.
Ideologi liberal sudah pasti sukar untuk dihapuskan, namun kita mempunyai peluang yang cukup besar untuk menguruskannya supaya selari dengan aspirasi nasional.
Buat ahli politik Malaysia, mohon jasa baik anda untuk bertindak sebagai wakil kepada rakyat Malaysia, bukan sebagai wakil rakyat Britain, China, Jepun mahupun Amerika Syarikat.
Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Bahalol
#Bukit Melaka
#Bukit St Paul
#Hisyam Basabah
#ilmuan islam
#Kolumnis AWANI
#Lancang Kuning
#Mendam Berahi