Sampah tidak dikutip lebih seminggu, berulat, syarikat konsesi akan dipanggil - Saarani

Aida Aziz
Mei 10, 2022 17:54 MYT
Syarikat konsesi dan pihak berkaitan yang bertanggungjawab menguruskan kutipan sampah di Perak akan dipanggil untuk menjelaskan isu kelewatan kutipan sampah.
IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, syarikat konsesi dan pihak berkaitan yang bertanggungjawab menguruskan kutipan sampah di negeri ini akan dipanggil untuk menjelaskan isu kelewatan kutipan sampah.
Menurut Saarani, tujuan tindakan itu dibuat juga bagi memastikan isu kelewatan kutipan sampah yang serius di beberapa kawasan seperti Ipoh dan Taiping, baru-baru ini tidak berulang pada masa akan datang.
Tegas beliau, walaupun perkara itu merupakan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi, namun, kerajaan negeri terpanggil untuk menyelesaikan isu sampah yang kian meresahkan rakyat di negeri Perak.
"Kita telah memberi konsesi kepada Majuperak Utilities Management Sdn. Bhd. untuk menguruskan kerja-kerja berkaitan pungutan sampah.
"Apabila musim raya begini biasalah sampah itu akan berlipat kali ganda, ramai juga yang mengadu dengan saya dan hantar mesej pesanan ringkas (SMS) apa yang berlaku di Taiping dan Ipoh.
"Saya terus majukan mesej itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majuperak dan Datuk Bandar Ipoh, alasannya sampah berlipat kali ganda dan masalah pekerja bagi pihak subkontraktor," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga akan mencari jalan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.
"Kita kena minta Majuperak Holdings panggil Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (jelaskan)… kena nasihatkanlah. Kerana ia tiada kena mengena dengan kerajaan negeri.
"Kalau ada klausa yang membolehkan mereka (syarikat konsesi) kena 'terminate' (ditamatkan kontrak), maka 'terminate' lah.
"Ini membabitkan aduan awam dan saya bersimpati, katanya seminggu lebih dah berulat sampah tak dikutip. Ia tak baik untuk kesihatan dan penglihatan yang kotor serta menjijikkan," katanya lagi.
Sehubungan itu, Saarani juga sudah mengajukan masalah itu kepada PBT berkaitan dan syarikat konsesi terbabit, bagi membolehkan mereka mengambil tindakan segera.
"Saya nampak jawapan balas semalam, sudah 'clear' (dikutip) cuma lama hampir seminggu lebih masalah ini," ujarnya.
Terdahulu, heboh diperkatakan di media sosial khususnya Facebook yang memaparkan longgokan sampah di beberapa kawasan perumahan yang tidak dikutip hampir seminggu lebih.
Keadaan itu menyebabkan keresahan dalam kalangan penduduk yang mendakwa sampah sudah membusuk dan berulat.
#sampah #lewat kutip sampah #Menteri Besar Perak #Saarani Mohamad
;