Sampah masih berselerakan di Langkawi

Astro Awani
April 20, 2019 17:26 MYT
Sebahagian daripada sampah yang berjaya dikutip dalam program khas di Langkawi. - Astro AWANI
Berkali-kali sudah dikutip, dibuang dan dilupuskan, namun timbunan sampah tetap muncul walau di ceruk mana pun di Pulau Langkawi.
Setakat tengah hari Sabtu, sebanyak 36 kilogram sampah telahpun dikutip di sekitar taman Dataran Lang berhampiran Jeti Kuah.
Sempena sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia (World Wetlands Day), seramai 40 pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memilih Langkawi untuk menjalankan kerja-kerja amal mengutip sampah, membersihkan trek dan menanam pokok bakau.
Bercakap kepada Astro AWANI, mereka melahirkan rasa kesal dengan tabiat membuang sampah yang sukar diubah. Tegas mereka, maruah Pulau Langkawi sebagai pulau peranginan pilihan di mata para pelancong perlu dijaga.
“Nasihat saya, mungkin kita boleh suruh mereka kutip sampah, baru dia tahu perasaan macam mana orang lain buang, kita yang kena kutip sampah. Tapi kalau masyarakat yang jenis suka buang sampah ni kami rasa sedih dan marah pun ada sebab ini negara kita.
“Apabila dia buang sampah, dia sudah kotorkan imej Malaysia. Terutamanya di Langkawi ni yang ramai pelancong, kalau boleh jangan tunjuk itu tabiat orang Malaysia,” ujar penuntut UiTM, Wan Nur Atikah Wan Badlishah.
Bagi Pengarah Program, Mohd Hazman Halim, penganjuran acara tersebut adalah sempena Hari Bumi yang jatuh pada 22 April.
“Dengan program ini, ia akan memberi kesedaran semua masyarakat.. dari anak kecil ke dewasa, muda hingga ke tua. Kita mahukan acara ini meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar di mana-mana saja,” ujarnya yang memilih destinasi pelancongan Langkawi sebagai lokasi programnya supaya mesej mengenainya dapat sampai kepada pelbagai pihak.
Sementara itu, Pengasas Trash Hero, Ulrika Player, ketika ditemui semasa program tersebut menggesa pihak kerajaan negeri Kedah perlu menguatkuasakan undang-undang denda kepada pembuang sampah.
Baginya, jika sekadar usaha mengutip sampah, seolah-olah tidak memberi kesan.
Menurunya, sejak penubuhan Trash Hero pada tahun 2015, sebanyak 40,000 kilogram sampah telah berjaya dikutip melalui 185 program yang dianjurkan di sekitar Langkawi.
“Kita perlu mendidik masyarakat dan seterusnya menguatkuasakan undang-undang yang sudah ada di Kedah – termasuk udnang-undang tiada penggunaan beg plastik, penyedut minuman plastik dan styrofoam (polistirena).
“Kita perlu mendidik dan jika mereka telah faham dan masih berdegil kita perlu melaksanakan penguatkuasaan,” tegas Player.
#Destinasi pelancongan #kempen kesedaran #Langkawi #pulau peranginan #sampah #tabiat membuang sampah #trash hero
;