Sampah bertaburan di laluan CSR Lipis-Merapoh: Masyarakat perlu sama-sama bertanggungjawab - ADUN
Ifti Femida
Mei 4, 2022 14:08 MYT
Mei 4, 2022 14:08 MYT
LIPIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berharap pengguna laluan CSR Lipis-Merapoh wajar menjaga kebersihan sepertimana jalan raya dan lebuh raya di negeri lain.
Beliau diminta mengulas tentang insiden gambar tular di media sosial yang menunjukkan bahu jalan di kawasan itu yang penuh dengan sampah-sarap yang berselerakan, dipercayai akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya di situ.
“Walaupun selepas hari raya, laluan ini akan dibersihkan oleh pekerja kebersihan dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi sikap kebertanggungjawaban dan mengutamakan nilai kebersihan merupakan amalan Islam amat ditagih supaya laluan ini sentiasa bersih serta ceria tanpa sampah,” ujar beliau.
Jelas Mustapa, menjaga kebersihan laluan CSR Lipis-Merapoh termasuk di lebuh raya lain merupakan tanggungjawab bersama malahan amalan murni berkenaan dapat menjimatkan kos penyelenggaraan mengangkut sampah dan pada masa yang sama lokasi di situ ceria mampu menyenangkan mata memandang.
Pada Selasa, telah tular gambar-gambar menunjukkan pemandangan menjelikkan di laluan utama Central Spine Road (CSR), Jalan Lipis ke Merapoh. Ada piahk merakamkan keadaan di bahu jalan yang dipenuhi sampah-sarap akibat dibuang sewenang-wenangnya.
Hal ini berlaku sejak permulaan cuti Hari Raya Aidilfitri apabila ramai perantau dari Lembah Klang dan arah selatan yang melalui laluan untuk pulang ke kampung di Kelantan dan kawasan berdekatan membuang sampah dari tingkap kenderaan atau yang berhenti rehat di tepi jalan tersebut.
Keadaan itu dapat dilihat sehingga hari ini, berdekatan Kampung Kechau, Kampung Relong dan persimpangan Chegar Perah di sini yang dipenuhi plastik bungkusan makanan, polisterin dan kotak minuman sehingga ada sisa makanan dihurungi langau.
BACA: 'Parok' orang kita, tiada kesedaran sivik! - Lelaki ini kutip sampah ditinggal pengguna lebuh raya
Penduduk Kampung Relong, Baharuddin Sa’aid, 63, berkata, sikap ditunjukkan segelintir pengguna jalan raya amat mengecewakan kerana tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati sehingga menyebabkan kekotoran di sepanjang laluan tersebut.
“Sejak cuti hari raya lagi, ramai perantau berkenderaan pulang ke negeri Kelantan dan kawasan berdekatan. Mereka ini sewenang-wenangnya membuang sampah di sepanjang laluan ini terutamanya berdekatan dengan Kampung Kechau dan Ladang Selborne yang berdekatan dengan laluan CSR.
“Lebih menjelikkan apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri pemandangan kawasan laluan ini berubah apabila dipenuhi sampap-sarap,” katanya di Kampung Relong di sini hari ini.
Bagi penduduk Kampung Kechau, Ismail Rahman, 45, berkata, mereka sudah menjangka senario yang sama akan berulang setiap kali menjelang dan selepas Aidilfitri kerana ramai perantau pulang ke Kelantan dan pantai timur serta kembali ke tempat kerja selepas itu.
"Saya tidak berniat menyalahkan pengguna yang berulang-alik di laluan CSR ini dan cuma beranggapan segelintir sahaja daripada mereka yang membuang sampah. Seeloknya ubahlah sikap lebih positif dan sayangkan kemudahan ini dengan amalan menjaga kebesihan.
“Penduduk di sini juga menggunakan laluan CSR sejak dibuka lima tahun lalu berulang-alik ke Merapoh dan Gua Musang, Kelantan termasuk penduduk di sana (Merapoh) keluar berbelanja ke bandar Kuala Lipis dan kecewa melihat pemandangan ‘terganggu’ dengan sampah-sarap di tepi jalan ini,” katanya.