SAMM sokong Himpunan 1Mei diadakan
Aizat Sharif
April 21, 2014 14:39 MYT
April 21, 2014 14:39 MYT
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyokong rancangan Himpunan 1Mei yang akan dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka.
Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai che’GuBard berkata rancangan tersebut bermula dengan perjalanan kaki beramai-ramai dari beberapa lokasi termasuk lokasi utamanya dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
“SAMM percaya semua yang terlibat sedang memainkan peranan yang terbaik untuk memastikan himpunan tersebut berlangsung baik demi menyampaikan masej dan mencapai objektif himpunan yang cukup besar,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Astro AWANI.
Tambahnya lagi, himpunan tersebut yang diadakan pada Hari Pekerja itu membawa tema membantah Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Ini sesuai dengan seruan Perdana Menteri ketika membentangkan buget dan ketika menyebut fasal GST beliau sendiri ingin melihat respon rakyat. Jika jumlah yang turun besar SAMM percaya Najib akan membatalkan GST tersebut,”.
“Selain itu SAMM menyeru seluruh rakyat menjadikan himpunan ini sebagai manifestasi luahan rasa rakyat yang tidak didengar suaranya termasukkan rakyat harus turun bersama membantah penyalah gunaan mahkamah dalam menafikan suara juga memenjara pimpinan Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.”
SAMM telah mengkerahkan semua komradnya dari seluruh negara untuk bersama disamping sudah mempersiapkan 100 'marshal' berpengalaman untuk membantu menyelia himpunan tersebut.
Acara 1 Mei akan bermula dari tengahari di KLCC dan akan berakhir sekitar jam 2 petang. Acara di KLCC dibuat oleh sekumpulan organisasi yang bergabung dan membentuk Jawatankuasa Mei 1, 2014. Perbagai acara ucapan pimpinan, persembahan dan ikrar hari pekerja.
Sekitar jam 2 petang mereka akan bergerak daripada 5 titik dan menuju ke Dataran termasuk dari KLCC sendiri. Seperti biasa 4 tempat yang lain ialah Brickfields, Sogo dan Masjid Negara.