Samenta rayu kerajaan siasat bayaran komisen terlampau tinggi p-hailing ke atas PKS
Bernama
Ogos 6, 2023 04:40 MYT
Ogos 6, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) Malaysia berharap kerajaan akan menyiasat mengapa industri p-hailing di negara ini mengenakan bayaran komisen sehingga setinggi 32 peratus kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berbanding kadar yang lebih rendah di negara lain.
Presidennya Datuk William Ng berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dijadualkan bertemu pemain industri p-hailing pada Selasa ini.
"Agenda utama adalah untuk mengetahui sama ada pemain p-hailing boleh membayar lebih tinggi kepada rakan penghantar mereka serta menyediakan kebajikan yang lebih baik agar tidak diambil kesempatan daripada separa monopoli ini.
"Sebenarnya bukan sahaja rakan penghantar yang mempunyai isu dengan syarikat-syarikat tersebut, tetapi banyak PKS turut terjejas dengan bayaran komisen yang melampau yang dikenakan oleh syarikat p-hailing.
"Sebagai contoh, gerai makanan yang ingin menyertai platform p-hailing perlu membayar komisen setinggi 32 peratus kepada syarikat-syarikat tersebut," kata Ng dalam satu kenyataan pada Ahad.
Selain itu, katanya, jika pemilik gerai ingin mengambil bahagian dalam 'promosi' yang ditawarkan oleh pemilik platform, mereka perlu membayar komisen tambahan sehingga 30 peratus, Jika tidak, gerai mereka akan kurang kelihatan di platform tersebut berbanding mereka yang membayar komisen tambahan untuk 'promosi'.
Akibatnya, kebanyakan PKS tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga produk mereka di platform tersebut untuk menampung komisen tinggi, yang menyebabkan pengguna membayar antara 10 hingga 100 peratus lebih apabila membeli melalui platform p-hailing berbanding membeli terus dari kedai, katanya.
"Atas alasan untuk menyokong inovasi dan menggalakkan pendigitalan dan e-dagang, pengendali p-hailing telah terlepas daripada kawal selia kerajaan, dan boleh dikatakan menganiaya dan memperhambakan industri yang kononnya disokongi oleh mereka.
"Apa yang mengejutkan bagi kebanyakan PKS adalah pengendali yang sama mengenakan bayaran komisen serendah 8 peratus kepada pemilik restoran berantai yang lebih besar - menunjukkan bahawa syarikat-syarikat ini boleh mendapat keuntungan pada tahap komisen tersebut," katanya.
Menurut Ng, di negara China, pengendali p-hailing, Meituan, mengenakan komisen maksimum 12 peratus dan masih mencatatkan keuntungan.
"Dalam lawatan saya ke Vietnam baru-baru ini, saya mendapati Grab memberi subsidi yang besar kepada perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran makanan mereka.
"Sebagai contohnya, perjalanan sejauh 2 kilometer menaiki kereta di daerah 1 bandaraya Ho Chi Minh memakan belanja sebanyak 21,000 dong (kira-kira RM4) manakala perjalanan serupa dari Wisma Genting ke Menara Maybank di Kuala Lumpur menelan kos RM16 kerana adanya 'surge pricing' (lonjakan harga)," katanya.
Ng menegaskan adalah penting untuk kita menggalakkan pilihan dan persaingan dalam industri p-hailing.
"Jika ini tidak dapat dilakukan kerana sifat monopoli atau oligopoli industri tersebut, mungkin kita perlu memecahkan monopoli industri tersebut dengan mengehadkan keupayaan mereka untuk memberi perkhidmatan kepada pelbagai sektor industri atau mengehadkan komisen mereka melalui perundangan," katanya.
-- BERNAMA