Samenta komited bantu PKS dalam pendigitalan, penuhi piawaian ESG

Bernama
Jun 25, 2023 04:09 MYT
Samenta membantu PKS untuk lebih memahami keperluan yang sentiasa berubah dan melakukan yang terbaik untuk memenuhinya. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), komited untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk lebih memahami pendigitalan, automasi dan memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Presiden Samenta Datuk William Ng berkata ini kerana PKS berhadapan cabaran kekurangan buruh, produktiviti rendah, peningkatan kos dan isu pematuhan berkaitan piawaian ESG baharu.
"Banyak PKS sudah sedar tentang kepentingan pendigitalan, tetapi kekurangan pengetahuan dan sumber untuk mendigitalkan perusahaan mereka dengan berkesan.
"Kami telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk membantu PKS mendigitalkan dan mengautomasikan dengan berkesan, dan pada tahun ini, kami akan terus memberi tumpuan untuk berbuat demikian," kata Ng dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu.
Ng berkata dengan pengenalan piawaian ESG yang lebih ketat, dan dasar berkaitan karbon seperti Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM), PKS tempatan perlu dapat mengukur pengeluaran karbon mereka serta melaporkan tentang dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus mereka dan penambahbaikan, untuk kekal berdaya saing.
"Kami sudah menerima laporan mengenai PKS ditutup daripada rantaian bekalan disebabkan hal ini, jadi ini sangat kritikal. Samenta membantu PKS untuk lebih memahami keperluan yang sentiasa berubah ini dan melakukan yang terbaik untuk memenuhinya," kata Ng.
Semasa AGM itu, Samenta melantik kepimpinan baharu bagi penggal 2023-2026. Selain Ng, Calvin Kwan dilantik sebagai Timbalan Presiden baharu, manakala Yeoh Seng Hooi dan Fan Kah Seong masing-masing dikekalkan sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari.
Terdapat pertukaran pengawal di peringkat wilayah, dengan Ryan Lee dan Edwin Ng masing-masing mengambil alih sebagai pengerusi wilayah selatan dan tengah.
Ditubuhkan pada 1986, Samenta ialah persatuan PKS tertua dan terbesar di Malaysia, dengan lebih 3,000 ahli di seluruh negara.
-- BERNAMA
#SAMENTA #PKS #ESG #WILLIAM NG
;