SAMENTA gesa kerajaan tubuh pasukan petugas atasi cabaran masa depan pekerjaan
Bernama
Mei 1, 2023 04:42 MYT
Mei 1, 2023 04:42 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengatasi cabaran masa depan pekerjaan.
Pengerusinya Datuk William Ng berkata pasaran kerja secara ketara telah diganggu oleh pandemik COVID-19 dan teknologi baharu.
Beliau berkata walaupun kadar pengangguran berada pada tahap rendah iaitu 3.5 peratus, ia tidak mengambil kira ketidakpadanan dalam kelayakan dan pekerjaan.
"Majikan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sukar untuk mendapatkan pekerja yang berkelayakan dan mempunyai kemahiran yang sesuai. Ini memberi kesan teruk kepada pertumbuhan produktiviti dan memaksa majikan untuk menanggung kos yang lebih tinggi untuk melatih semula pekerja," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Ng, berdasarkan penyelidikan EMIR Research baru-baru ini menyatakan bahawa ketidakpadanan kini sudah "berstruktur" dan pada Forum Ekonomi Dunia dinyatakan bahawa menjelang 2025, lebih separuh daripada semua pekerja perlu dilatih semula.
Sehubungan itu, beliau menggesa situasi itu perlu ditangani dengan segera yang bukan sahaja untuk menyelesaikan isu gangguan pasaran pekerjaan malah menyediakan pekerjaan bernilai tinggi yang lebih bermakna untuk rakyat dan membantu perniagaan terutama PKS bagi menaik taraf tenaga kerja dan keupayaan digital mereka.
Pada masa yang sama, Ng berkata pendekatan separuh masak seperti yang dilihat kebelakangan ini adalah berbahaya dan regresif serta jurang jangkaan antara pihak kerajaan dan industri semakin lebar antaranya dalam isu berkaitan gaji minimum, undang-undang buruh, faedah pekerja dan sebagainya.
"Pasukan Petugas Khas Masa Depan Pekerjaan perlu ditubuhkan secepat mungkin dan merangkumi bukan sahaja agensi kerajaan berkaitan malah industri termasuk PKS bagi menangani jurang ini sekali gus membantu negara dan rakyat untuk mengharungi masa depan pekerjaan yang cukup berbeza," katanya.
-- BERNAMA