Sambutan Thaipusam, Chap Goh Mei serlah keunikan Malaysia
Faris Danial Razi
Februari 8, 2020 04:53 MYT
Februari 8, 2020 04:53 MYT
KEUNIKAN negara Malaysia sekali lagi dapat dilihat apabila perayaan Thaipusam dan perayaan Chap Goh Mei disambut pada hari yang sama, sekali gus membuktikan perayaan dapat menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves bukan sahaja dimeriahkan masyarakat beragama Hindu, malah turut dihadiri kalangan daripada agama lain selain pelancong luar yang turut memeriahkan perayaan tersebut.
Begitu juga dengan sambutan Chap Goh Mei yang menarik minat pelancong luar dari Jepun dan Korea Selatan yang tidak ketinggalan menyambutnya.
Kisah menarik di sebalik Chap Goh Mei
Genap 15 hari selepas Tahun Baharu Cina yang disambut pada 25 Januari lalu, kehangatan perayaan itu disambut pula masyarakat Cina dengan sambutan Chap Goh Mei.
Perayaan itu menjadi tradisi kalangan masyarakat Cina yang masih bujang juga untuk mencuba nasib mencari jodoh.
Lantas menjadikan Chap Goh Mei sebagai hari kekasih versi masyarakat Cina.
Menurut kepercayaan masyarakat Cina pada zaman dahulu, golongan wanita sukar mendapat kebenaran untuk keluar dari rumah.
Mereka hanya mempunyai hari tertentu sahaja untuk menghiaskan diri dan pada masa sama mengambil peluang untuk mencari jodoh.
Sambutan Chap Goh Mei seringkali dikaitkan dengan cerita mitos dua wanita bujang yang membuang buah oren ke dalam sungai dengan harapan mendapat jodoh.
Menurut Wong Woon Woon, salah seorang pengunjung yang menyertai sambutan perayaan Chap Goh Mei di Taman Jaya, Petaling Jaya, dia ingin mengambil peluang tahun ini kerana sudah sekian lama hidup membujang.
“Ini kali pertama saya berkumpul menyambut Chap Goh Mei, dan saya berharap dapat jodoh seperti yang diimpikan,” katanya sewaktu ditemu bual oleh Astro AWANI.
Sambutan ini bukan sahaja menjadi tarikan bagi golongan yang belum berkahwin, malah ia turut dihadiri oleh golongan yang sudah berkahwin mahupun berkeluarga.
Bagi sambutan Chap Goh Mei yang berlangsung di Taman Jaya, Petaling Jaya pada Ahad, bukan sahaja masyarakat Cina malah orang luar turut memeriahkan perayaan tersebut.
Kebanyakan mereka mengambil pengalaman pertama dengan menyertai upacara simbolik membaling limau ke tasik.
Di sebalik kemeriahan perayaan, masih ambil langkah berjaga-jaga
Bagaimanapun, perayaan pada kali ini tidaklah meriah seperti tahun-tahun sebelum ini dan hanya diraikan secara sederhana sahaja ekoran dunia kini diancam dengan jangkitan koronavirus.
#Astro Awani
#Batu Caves
#Chap Goh Mei
#Cina
#coronavirus
#India
#Masyarakat
#Melayu
#pelancong
#rakyat Malaysia
#Thaipusam