Sambutan tahun baharu Sarawak berskala kecil, tidak langgar arahan MKN - Abdul Karim

Astro Awani
Disember 29, 2020 18:42 MYT
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pihaknya mengambil maklum dengan arahan dikeluarkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin. FOTO: BERNAMA
KUCHING: Sambutan Countdown 2021 yang akan dianjurkan di Stadium Tertutup Kuching akan dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan hanya seribu tetamu yang dijemput sahaja dibenarkan hadir.
Malah penganjuran acara itu juga sudah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pihaknya mengambil maklum dengan arahan dikeluarkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.
“Apa yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam adalah acara sambutan yang berskala besar.
“Kita sedar apabila menganjurkan program seperti ini, kita perlu sentiasa berwaspada dan disebabkan itulah kita menganjurkannya dengan mengambil kira setiap SOP yang digariskan,” kata Abdul Karim.
Pada Isnin, Ismail Sabri mengumumkan sambutan tahun baharu secara besar-besaran masih tidak dibenarkan.
Ini kerana ujarnya, perhimpunan berskala besar akan menyukarkan pematuhan kepada SOP termasuk penjarakan fizikal.
BACA: Perhimpunan sambutan tahun baharu tidak dibenarkan - Ismail Sabri
#sambutan tahun baharu #SOP sambutan di Sarawak #COVID-19 di Sarawak #Abdul Karim Rahman Hamzah #ismail sabri yaakob #SOP tahun baharu
;