Sambutan Tahun Baharu Cina, PDRM ingatkan semua patuhi SOP PPN Fasa 4

Fareez Azman
Januari 23, 2022 18:45 MYT
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP PPN Fasa 4 yang dikeluarkan MKN. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan rondaan dan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara terutama ketika sambutan Tahun Baharu Cina 2022.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan media pada Ahad.
"PDRM menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama ketika sambutan Tahun Baru Cina 2022 oleh masyarakat Tionghua.
"Dalam musim perayaan Tahun Baru Cina, PDRM akan meningkatkan rondaan dan operasi-operasi pematuhan di seluruh negara bagi memastikan orang ramai terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Dalam usaha untuk mencegah penularan jangkitan wabak COVID-19," jelasnya.
Mengulas lanjut, tambah Hazani, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.
Jelasnya, tindakan akan diambil di bawah Akta 342.
"PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP PPN di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," jelasnya lagi.
#PDRM #Tahun Baru Cina 2022 #patuhi SOP #MKN
;