Sambutan Songkran untuk gerak tenaga kukuh perpaduan - PM Anwar

Bernama
April 13, 2024 23:41 MYT
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Perdana Menteri menyeru rakyat supaya menyingkirkan fitnah, prejudis dan sentimen yang memecah belah, sekali gus merugikan semua pihak. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat keturunan Siam untuk sama-sama menggerakkan seluruh tenaga dan usaha ke arah memperkukuh perpaduan dan kasih sayang antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Perdana Menteri menyeru rakyat supaya menyingkirkan fitnah, prejudis dan sentimen yang memecah belah, sekali gus merugikan semua pihak.
"Kesepaduan yang kukuh adalah senjata paling ampuh untuk kita merealisasikan perjuangan dan cita-cita murni mengangkat darjat watan ke tingkat tertinggi," katanya hari ini.
Perdana Menteri turut mengucapkan selamat menyambut perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia.
Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baharu Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.
-- BERNAMA
#Songkran #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #tenaga #perpaduan
;