Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina secara maya, Sabtu ini

Astro Awani
Februari 17, 2021 18:52 MYT
Nancy Shukri berkata, meskipun berdepan dengan pandemik, MOTAC tetap meneruskan tradisi sambutan perayaan ini dengan cara norma baharu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada kali ini akan dianjurkan dalam norma baharu secara maya pada Sabtu ini berikutan pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sambutan itu akan turut disiarkan menerusi platform media sosial seperti Facebook rasmi kementerian itu, MyMOTAC dan saluran TV1, RTM pada pukul 9 malam serta dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Meskipun berdepan dengan pandemik, MOTAC tetap meneruskan tradisi sambutan perayaan ini dengan cara norma baharu.
"Walaupun dari segi skala penganjurannya adalah terhad, namun sambutan Tahun Baru Cina tetap disambut meriah," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian di sini, pada Rabu.
Nancy memberitahu, inisiatif itu adalah bagi membolehkan rakyat pelbagai kaum turut serta menyambut dan berkongsi kegembiraan bersama-sama rakan-rakan masyarakat Cina di negara ini.
Katanya, selain mengetengahkan tradisi menyambut perayaan Tahun Baru Cina sebagai satu daripada keunikan tradisi dan budaya masyarakat setempat, Nancy berkata sambutan ini merupakan platform terbaik untuk memberi pendedahan dan kefahaman umum mengenai budaya, tradisi dan adat yang diamalkan di Malaysia.
Antara pengisian menarik untuk sambutan pada kali ini katanya adalah kompilasi Video Pelaksanaan Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dari tahun 2016 hingga 2020, persembahan tarian ‘Selamat Datang’ dan tarian kipas dari Artistari Istana Budaya.
"Justeru, orang ramai diingatkan untuk tidak melepaskan peluang ini untuk sama-sama menonton di mana kita bawakan pelbagai program dan pengisian yang menarik.
“Penganjuran sambutan ini diharapkan dapat meningkatkan semangat bersatu hati dan toleransi serta menyemai nilai-nilai murni dan budaya yang tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum untuk lebih bersifat terbuka dan saling hormat-menghormati,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, katanya, sebanyak 79 pengusaha hotel setakat ini menyatakan kesediaan untuk menempatkan pekerja warga asing untuk tinggal sementara di hotel bagi menyekat penyebaran jangkitan COVID-19.
"Setakat ini 79 buah hotel telah menyatakan kesediaan. Pun begitu kita masih lagi mengadakan perbincangan dengan majikan-majikan lain," tambahnya lagi.
#Tahun Baharu Cina #sambutan secara dalam talian #MOTAC #pekerja asing #kuarantin di hotel #pengusaha hotel #COVID-19 #pandemik #Nancy Shukri
;