Sambutan perayaan sebagai tarikan pelancongan ke Pahang - Al-Sultan Abdullah
Nursyazwani Saiful Sham
Februari 8, 2025 09:10 MYT
Februari 8, 2025 09:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini berkenan berangkat ke majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di mercu tanda ikonik, Menara 188 Kuantan.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menggaul Yee Sang sepanjang 50 meter bersama tetamu jemputan dan komuniti setempat sebagai tanda kepada keberkatan dan kemakmuran tahun baharu.
Dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, baginda menyifatkan sambutan tersebut sebagai satu pembaharuan di Kuantan dan mahu menjadikkannya sebagai satu lagi produk tarikan pelancongan sempena musim perayaan.
"Ini satu pembaharuan sempena Tahun Baharu Cina, acara seperti menggaul Yee Sang juga diadakan secara beramai-ramai.
"Untuk tahun-tahun akan datang saya mengharapkan lebih panjang lagi (meja Yee Sang) dan ini adalah satu lagi produk tarikan sempena Tahun Baharu Cina ini.
"Di Kuantan kita galakkan pelancong dari negeri Pahang sendiri dan jiran kita seperti Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan sebagainya berkunjung ke sini.
"Lebih baik lagi datang dengan keluarga supaya dapat mengimarahkan suasana kekeluargaan," titahnya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI baru-baru ini.
Ditanya berkenaan pembangunan Menara Kuantan 188, baginda begitu teruja dengan pembinaan tersebut yang kini menjadi buah mulut pengunjung.
"Saya teruja dengan pembinaan ini, idea cukup baik, ini telah menjadi buah mulut kepada pengunjung.
"Pihak pengusaha juga mengadakan pelbagai acara dan program di sini, tahun lepas sahaja ada beberapa program, tahun ini juga sama," titah baginda.
#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Tahun Baharu Cina
#produk pelancongan
#Menara 188 Kuantan