Sambutan Minggu Perpaduan perkasa penghayatan lima prinsip rukun negara
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 12, 2023 12:00 MYT
Januari 12, 2023 12:00 MYT
PUTRAJAYA : Kementerian Perpaduan bakal menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan peringkat nasional dalam usaha memperkasa penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara bagi membina perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, hasrat utama penganjuran program ini ialah untuk mempertingkatkan lagi semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air yang berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Ia, kata beliau, antara lain memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat madani iaitu usaha membentuk masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan pembangunan dengan menyemai nilai-nilai murni.
Tidak ketinggalan, tumpuan turut diberikan pada aspek memperkasa sikap saling menghormati sesama rakyat sebagai norma sosial dan budaya ke arah pengukuhan perpaduan masyarakat secara keseluruhannya.
“Sambutan Minggu Perpaduan Negara adalah berlandaskan tema ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ekspresi kasih, persahabatan dan persaudaraan yang akan memperkukuhkan semangat kekeluargaan.
“Pelaksanaan program ini juga adalah bertepatan dengan situasi semasa yang sering menjadi cabaran dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.
“Antara isu dan cabaran yang perlu ditangani adalah kurang kefahaman dan sensitiviti antara penganut agama serta penyalahgunaan dan pengawalan media informasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat 2023 Menteri Perpaduan Negara Bersama Warga Kementerian, di sini, pada Khamis.
Kata Aaron, sambutan Minggu Perpaduan dijangka akan diadakan pada minggu terakhir bulan Mei depan dan di Sarawak dengan penglibatan kementerian lain.
Program yang berlangsung selama seminggu itu juga, jelas beliau, akan diadakan di Sabah dan beberapa negeri lain.
Dalam ucapan sama, beliau turut menekankan kepentingan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilihat sebagai satu penyataan komitmen dan kesungguhan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang telus dan bebas rasuah.