Sambutan Minggu Perpaduan 2024: Belia perlu terap prinsip Rukun Negara sebagai asas
Nursyazwani Saiful Sham
Mei 25, 2024 17:47 MYT
Mei 25, 2024 17:47 MYT
JOHOR BAHRU: Usaha pelbagai kementerian dan agensi akan digerakkan dengan lebih giat untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Inisiatif Kementerian Perpaduan kini juga tertumpu kepada pembangunan belia tempatan yang berkualiti, melalui penerapan prinsip Rukun Negara sebagai asas.
Perkara itu dizahirkan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, yang berkata usaha jitu pelbagai pihak perlu digerakkan terutamanya dalam menyediakan belia sebagai pemimpin masa depan negara.
Baginya, penghayatan Rukun Negara jika dizahirkan akan menjadi tunjang kepada masyarakat yang bertanggungjawab dalam meraikan semangat perpaduan.
“Rukun Negara adalah asas kepada perpaduan negara. Kerajaan merasakan ini sangat penting
“Penghayatan Rukun Negara perlu disematkan dalam kalangan muda-mudi sejak di peringkat sekolah. Ia juga perlu diterapkan di peringkat universiti,” katanya dalam AWANI Pagi pada Sabtu bersempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan.
Sambutan itu diadakan di Angsana Mall, Johor Bahru yang dari 23 hingga 26 Mei.
Tambahnya lagi pengenalan semula modul perpaduan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), akan lebih memperkasa belia bagi memupuk semangat kebersamaan.
“Bagi nembangunkan belia sebagai pemimpin, kita bergabung dengan kementerian lain untuk mengenalkan modul dalam PLKN.
“Menerusi modul itu juga ia akan menerapkan penghayatan Rukun Negara selain memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbiliang kaum,” ujarnya.