Sambutan luar biasa, lebih 100,000 hadiri Rumah Terbuka Perdana Menteri

Astro Awani
Mei 8, 2022 19:30 MYT
Orang ramai menjamu juadah yang disediakan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Perdana Menteri di Laman Sari Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Lebih 100,000 rakyat Malaysia menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Ahad.
Majlis yang dijadualkan bermula pada jam 10 pagi itu dimulakan lebih awal iaitu pada jam 9 pagi selepas ramai rakyat sudah mula beratur seawal jam 8 pagi.
Bahkan, menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis tersebut juga yang sepatutnya berakhir pada jam 4 petang dianjakkan masanya sehingga majlis selesai sepenuhnya.
Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sampai hati melihat masih ramai rakyat beratur panjang menunggu giliran walaupun jam sudah melebihi 4 petang.
BACA: Agong berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri
BACA: Rumah Terbuka Aidilfitri PM dilanjutkan sehingga 6 petang
Jelas Perdana Menteri, sambutan pada tahun ini adalah sangat luar biasa dengan lebih 100,000 pengunjung hadir ke majlis tersebut.
Malah, katanya, ia juga merupakan kali pertama dalam sejarah Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri merekodkan jumlah kehadiran yang tinggi sebegitu.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang dihoskan oleh Ismail Sabri dan anggota Kabinet beliau.
Aidilfitri | Rumah terbuka PM kembali selepas dua tahun
Sementara itu, pengunjung yang ditemui ternyata gembira dengan kemeriahan majlis itu yang diadakan semula selepas dua tahun tiada majlis berkenaan kerana pandemik COVID-19.
Ada yang datang dari kawasan berhampiran, ada juga yang datang dari Perlis juga, semuanya bagi meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan rakyat Malaysia.
Bagi pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, Amir Rosdan dan Aishah Zakaria, mereka pertama kali hadir ke majlis tersebut dan terkejut melihat kemeriahannya.
“Ini adalah kali pertama saya datang, selama 10 tahun di KL. Saya agak terkejut dengan kemeriahannya. saya asa ini adalah best moment saya di Kompleks Seri Perdana," kata Amir.
Ishah pula berkata: “Saya tak pernah datang. Sangat gembira dapat datang dengan suami, ini pertama kali.”
Hari Raya Aidilfitri | Ribuan hadir rumah terbuka PM
Sabani Mat yang datang dari Arau bersama rakan-rakan pula berkata:
“Alhamdulillah, nampak suasana cukup meriah. Apa lagi setelah dua tahun tak merayakan, Alhamdulillah nampak suasana cukup meriah dengan kehadiran yang mungkin melebihi 100,000.
“Saya nampak tadi ada berbilang kaum yang datang, sesuailah dengan tema kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.
Suri rumah, Tan Suan Choo pula berkata, ini adalah kali ketiga dia menghadiri rumah terbuka Perdana Menteri, kali terakhir menghadiri rumah terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tahun depan, tengoklah. Kalau saya ada di Kuala Lumpur, saya datanglah. Kalau tiada di Kuala Lumpur, melancong tempat lain, tak dapat datanglah,” ujarnya.
Aidilfitri | Lebih 100,000 hadiri Rumah Terbuka Perdana Menteri
#Hari Raya Aidilfitri #ismail sabri yaakob #rumah terbuka #Putrajaya #Seri Perdana
;