Sambutan luar biasa, lebih 1.43 juta pengunjung hadir PBAKL ke-40

Hasimi Muhamad
Jun 4, 2023 14:50 MYT
PBAKL edisi ke-40 berlangsung selama 10 hari sejak 26 Mei lalu, dengan mengumpulkan 211 syarikat pempamer industri perbukuan dan melibatkan 812 unit reruai - Foto/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) edisi ke-40 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, sejak 26 Mei lalu telah mencatatkan lebih 1.43 juta pengunjung setakat semalam.
Menurut Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, statistik tersebut sekali gus melepasi sasaran 900,000 pengunjung yang ditetapkan pada tahun ini.
Jelas beliau, angka tersebut turut mengatasi jumlah kunjungan pada edisi ke-39 yang merekodkan seramai 1.3 juta pengunjung.
“Saya melihat sambutan ini sangat-sangat menggalakkan dan lebih menarik, ini bukan pesta buku untuk orang Kuala Lumpur sahaja tetapi yang datang adalah dari seluruh pelosok tanah air termasuk pengunjung dari Singapura,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di WTCKL, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khair berkata, sambutan luar biasa itu juga memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat penerbitan buku, apabila hasil jualan buku meningkat hampir 20 peratus.
“Majoriti penerbit buku yang kami temui mengatakan jualan buku mereka bertambah berbanding tahun lepas.
“Ada satu dua penerbit buku sahaja yang mengatakan keuntungan sedikit tetapi tidak ada yang mengatakan mereka rugi.
"Ini adalah satu perkara yang paling mengembirakan sebagai penganjur buku dan mencapai matlamat Majlis Buku Kebangsaan Malaysia untuk menggalakkan masyarakat membaca dan memperkasakan industri penerbitan buku," tambah beliau.
Dalam masa sama, jelas beliau lagi penganjuran pesta buku wajar diperluas dan dipergiatkan lagi ke seluruh negara bagi menjamin perkembangan industri perbukuan pasca COVID-19, selain memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Ujarnya, Selangor dijangka mengadakan pesta buku kanak-kanak pada Julai ini sebelum penganjuran pesta buku besar-besaran pada Disember depan.
"Negeri-negeri lain juga sedang merancang untuk mengadakan pesta buku termasuk di Sarawak yang akan diadakan di Kuching, Bintulu dan Miri.
"Ini saya fikir akan menggerakkan dan memastikan industi buku negara berada dalam landasan yang betul," kata Mohd Khair.
PBAKL edisi ke-40 berlangsung selama 10 hari sejak 26 Mei lalu, dengan mengumpulkan 211 syarikat pempamer industri perbukuan dan melibatkan 812 unit reruai.
#pesta buku antarabangsa #Industri perbukuan negara #PBAKL #WTCKL
;