Sambutan luar biasa di ibu negara buat wira Paralimpik Rio
Bernama
September 22, 2016 21:56 MYT
September 22, 2016 21:56 MYT
Sorakan hampir 1,000 peminat sukan tanah air memeriahkan dan menggamatkan suasana di perkarangan pusat beli-belah Pavilion di sini sejurus selepas ketibaan bas membawa wira emas Malaysia yang mencipta nama di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.
Kontinjen negara terdiri daripada 21 atlet yang diketuai Ketua Kontinjen Dr Ang Kean Koo yang menaiki bas hop-on-hop-off kelihatan teruja dengan sambutan luar biasa yang diberikan orang ramai pelbagai lapisan umur termasuk pelancong asing.
Suasana di sekitar kawasan itu menjadi lebih meriah dengan gelagat orang ramai yang hadir memakai jersi Harimau Malaysia dengan melaungkan slogan 'Malaysia Boleh' sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Kontinjen negara kemudiannya meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dan merakamkan gambar bersama orang ramai sebagai tanda kenang-kenangan.
Sementara itu, jurulatih Akademi Tunas Kuala Lumpur bahagian Wangsa Maju Kamarul Azman Yahaya berkata beliau bersama kira-kira 82 pelatih akademi bola sepak bawah 12 tahun berasa amat bertuah dapat hadir bersama-sama meraikan ketibaan wira emas negara itu.
"Kejayaan wira dan wirawati paralimpik dapat dijadikan sumber inspirasi dan suntikan semangat kepada kesemua pelatih di bawah selian saya," katanya.
Pesara institusi perbankan Nurul Anuar Nordin, 59, berkata beliau sekeluarga sentiasa meluangkan masa mengikuti perkembangan kejayaan atlet paralimpik pada temasya berprestij itu di kaca televisyen.
"Anak saya juga minat sukan bola sepak. Saya mahu anak saya mengikut jejak atlet 'istimewa' ini dan mengharumkan nama negara," kata bapa kepada enam anak itu.
Pasangan suami isteri dari Bukit Jalil yang ingin dikenali sebagai Shah Jihan, 41, dan Zuhairah, 39, berkata kehadiran mereka bersama empat anak bertujuan menyampaikan rasa terima kasih kepada atlet paralimpik yang telah mencipta nama di persada sukan berprestij itu.
Menurut pasangan suami isteri itu, mereka amat bangga dan gembira menyaksikan pencapaian atlet 'istimewa' itu.
Tiga pemenang pingat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 serta pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20, turut berada di dalam bas berkenaan.
Ketibaan kontinjen yang sebelum itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat EK0346 dari Dubai kira-kira 3.14 petang disambut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah.
Turut menyambut ketibaan mereka adalah Presiden MPM SM Nasaruddin SM Nasimuddin sebelum dibawa ke pentas utama Kompleks Bunga Raya untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kesemua atlet berkenaan dibawa berarak menggunakan bas tidak berbumbung dalam perarakan yang bermula dari Jalan Tun Razak menuju ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) melalui Jalan Ampang dan berhenti seketika di pintu masuk Dewan Filharmonik Petronas.
Konvoi itu kemudiannya melalui Jalan Sultan Ismail serta Jalan Raja Chulan dan berhenti di kawasan air pancut berhadapan pintu utama pusat beli-belah Pavilion di Jalan Bukit Bintang sebelum bergerak ke destinasi terakhir di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan. -- BERNAMA
#atlet
#kami luar biasa
#KLIA
#Kompleks Bunga Raya
#Paralimpik
#Paralimpik Rio 2016
#selamat pulang wira