Sambutan luar biasa, 4,000 lemang asli Pak Ali terjual dalam tempoh 48 jam
Fareez Azman
Mei 2, 2022 17:32 MYT
Mei 2, 2022 17:32 MYT
KUALA LUMPUR: Sejak berdekad lamanya hubungan bulan Syawal dengan lemang sangat akrab sekali di negara ini.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa lemang bagaikan tidak melengkapkan hari kemenangan.
Justeru, apabila kerajaan mengumumkan 1 Syawal disambut hari ini iaitu tidak seperti jangkaan ramai Aidilfitri akan disambut esok menyebabkan majoriti umat Islam di negara ini cemas.
Cemas kerana tidak banyak persiapan yang sempat dibuat termasuk menyediakan juadah untuk tetamu antaranya lemang.
Memandangkan masa sudah suntuk, maka gerai menjual lemang menjadi tumpuan ramai termasuk di gerai Lemang Asli Pak Ali di Ulu Kelang yang sememangnya sangat masyhur dengan jualan makanan tradisi itu.
Tinjauan Astro AWANI ke gerai Pak Ali mendapati warga kota sekurang-kurangnya dapat menarik nafas lega kerana hasrat untuk mendapatkan bekalan lemang sebagai juadah pada 1 Syawal tercapai.
Menurut salah seorang pekerja di gerai Lemang Asli Pak Ali, sejak dari awal lagi tempahan sudah banyak diterima mereka yang sekali gus membolehkan mereka membuat persiapan awal bagi menampung permintaan pelanggan.
Sejak malam Ahad, difahamkan tempahan terus bertambah terutama sebaik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Isnin.
"Selalu dalam 1,200 batang lemang, tapi kali ini dalam tempoh 48 jam, 4,000 batang lemang terjual," kata pekerja itu.
Berikutan itu, ada dalam kalangan pekerja gerai lemang itu yang dikerahakn berjaga bagi membakar lemang dan melayan permintaan pelanggan yang meningkat.
Lemang Pak Ali yang mendapat jolokan 'Lord of the Lemang' antara lemang yang popular di Lembah Klang kerana keenakan dan kelembutan pulut dengan aduan bahan asli lemang.
Pemerhatian mendapati, di sebelah pagi, pelanggan sudah beratur untuk mendapatkan tempahan lemang mereka.
Bagi Muhammad Naim Nordin, 25, pada pukul 8.30 malam tadi, dia ada mengunjungi gerai Lemang Asli Pak Ali, namun, tiada rezeki untuk membelinya memandangkan jumlah orang ramai yang beratur sangat panjang.
Disebabkan itu, sekitar pukul 2 petang hari ini, Muhammad Naim kembali semula ke gerai itu untuk mendapatkan lemang kerana pada waktu itu lazimnya, jumlah mereka yang mahu membeli juadah itu sudah berkurangan.
"Semalam kelam kabut juga mana nak cari ayam lagi…. sudah 8.30 malam pula ramai orang beratur nak cari lemang.
"Saya ambil pendekatan untuk pergi tempat lain dulu, kecoh juga bila hari raya jatuh hari ini, sebab selama saya hidup tidak pernah dapat macam ini. Ini pengalaman pertama saya," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, bagi Munirah Mohamed, 38, meskipun Aidilfitri kali ini diraikan secara sederhana selepas kematian bapa mertuanya, namun, lemang Pak Ali tetap menjadi pilihan keluarganya.