Sambutan Krismas di Malaysia ada keunikan tersendiri - Warga asing

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 25, 2022 13:40 MYT
Krismas dirayakan oleh penganut agama Kristian pada setiap 25 Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ, berdasarkan kepercayaan mereka. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Walaupun jauh di perantauan, sambutan Hari Natal atau Krismas di negara ini nyata memberikan pengalaman unik yang tersendiri buat warga asing terutamanya yang berada di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Kebanyakan warga asing, sama ada yang ke Malaysia untuk bekerja atau melancong, turut bersama berkumpul di gereja-gereja seawal 7 pagi bagi upacara keagamaan atau menunaikan ritual kebiasaan mereka setiap kali menyambut Krismas.
Menurut seorang warga Filipina, Jocelyn Sanchez, 38, yang telah beberapa tahun menetap di Kuala Lumpur. dia menganggap sambutan Krismas di sini mempunyai tarikan tersendiri.
"Sambutan di sini sangat meriah dan kita boleh berkumpul bersama rakan taulan dari Filipina pada hari ini.
"Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia sangat ramah dan mesra walaupun berbeza agama dan kami boleh meraikan Krismas dengan sangat aman dan selesa," katanya ketika ditemui di Gereja St John, Bukit Nanas.
Perkara tersebut turut diakui oleh warga Mauritius, Marjory Barbe, yang menganggap rakyat Malaysia bertuah kerana mampu meraikan pelbagai perayaan keagamaan dalam suasana begitu harmoni.
Walaupun terpaksa berseorangan ke gereja disebabkan perbezaan agama yang dianuti oleh suaminya, namun kemesraan yang ditonjolkan oleh pelbagai bangsa yang hadir di Gereja St John membuatnya tidak berasa kekok meraikan Krismas pertamanya di negara ini.
"Ini adalah Krismas pertama saya di sini dan tak sangka ia semeriah ini.
"Paling menakjubkan apabila anda tidak berasa asing kerana mereka semuanya begitu mesra dan suasana Krismas di Malaysia sememangnya unik," katanya kepada Astro AWANI.
Menerusi pemantauan yang dilakukan, lebih 60 peratus penganut Kristian yang mengunjungi Gereja St John, Bukit Nanas adalah warga asing dengan sebahagian besarnya warganegara Filipina.
Krismas dirayakan oleh penganut agama Kristian pada setiap 25 Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ, berdasarkan kepercayaan mereka.
Sambutan Krismas dimeriahkan dengan hiasan pohon Krismas yang dipasang dengan lampu berwarna-warni di kediaman penganutnya selain pelbagai bungkusan hadiah.
#warga asing #Krismas #sambutan perayaan #Malaysia
;