Sambutan Kemerdekaan: Rezeki hasilkan tanjak bermotifkan Jalur Gemilang
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Ogos 26, 2022 10:30 MYT
Ogos 26, 2022 10:30 MYT
KUALA NERUS: Sambutan bulan kemerdekaan membawa rezeki berganda buat seorang tukang jahit dengan menghasilkan tanjak bermotifkan Jalur Gemilang.
Menurut Norwilia Mohd Zawawi, 37, dari Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus, tanjak berkenaan dijual pada harga sekitar RM20 hingga RM25 seunit mengikut jenis reka bentuk.
Norwilia berkata, dia menerima purata tempahan antara 150 hingga 200 unit sehari daripada penduduk setempat dan secara atas talian.
"Buat tanjak ini sebab banyak permintaan dari kawan-kawan. Saya cuba buat satu, dapat sambutan. Saya iklankan di Facebook, dapat sambutan.
"Jadi saya teruskan, saya berhenti dulu buat bantal kekabu. Saya buat tanjak dulu buat sementara ini," katanya.
Norwilia berkata, tanjak yang dihasilkan adalah cetusan idea dan kreativiti dengan mengabungkan warna bendera Malaysia.
"Kita buat tanjak ini, kita gabungkan warna bendera. Kita tak gunakan daripada bendera itu untuk buat tanjak sebab untuk menghormati bendera.
"Kita menggunakan kreativiti gabung-gabungkan keempat-empat warna bendera untuk buat tanjak," katanya lagi.
Norwilia berhasrat untuk terus menghasilkan tanjak dengan pelbagai tema sambutan perayaan berikutan sambutan yang memberangsangkan.