Sambutan jualan harga promosi, tempahan awal bufet Ramadan menggalakkan
Bernama
April 2, 2022 04:09 MYT
April 2, 2022 04:09 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan sebilangan umat Islam termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat terhadap pakej bufet Ramadan pada tahun ini masih menggalakkan meskipun berlaku peningkatan harga yang ditawarkan.
Malah rata-rata pengusaha hotel dan katerer ketika dihubungi Bernama memaklumkan lebih 50 peratus jualan harga promosi dan tempahan awal bufet Ramadan yang dibuka sejak dua minggu lepas telah habis terjual.
Mereka mengakui harga bufet Ramadan terpaksa dinaikkan kerana berlaku kenaikan kos operasi dan bahan mentah namun ia pada tahap minimum dan tidak membebankan pengguna selain sajian yang ditawarkan tetap menjanjikan pilihan menarik serta berkualiti.
Pengarah Komunikasi Pemasaran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur Intan Tantiyana Puteri Jaafar berkata pembelian pakej bufet Ramadan daripada orang ramai sehingga kini amat menggalakkan berbanding dua tahun lepas.
Beliau berkata tidak berlaku banyak peningkatan harga jualan bufet Ramadan tahun ini, misalnya bagi pakej tempah awal atau 'early bird' untuk seorang dewasa harga yang ditawarkan oleh pihaknya ialah RM108 berbanding RM98 pada tahun lepas, kenaikan RM10.
"Permintaan bufet Ramadan masih tinggi, sebagai contoh untuk pembelian tiket 'early bird' sahaja sudah separuh terjual daripada RM5,000 baucar yang disediakan dan kami menjangkakan lebih ramai yang akan membuat tempahan selepas minggu pertama berpuasa.
"Malah pada kebiasaan minggu kedua dan ketiga puasa tahun lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) yang masih ketat serta kes tinggi, tempahan dewan sentiasa penuh," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan harga bufet Ramadan sepanjang bulan puasa mengalami peningkatan antara 15 hingga 20 peratus susulan kenaikan harga bahan mentah dan kos operasi.
Intan turut memaklumkan kelonggaran SOP yang diberikan pihak berkuasa susulan peralihan ke fasa endemik juga menyebabkan lebih ramai syarikat korporat berani tampil membuat tempahan bufet Ramadan.
Pengarah Urusan Restoran dan Kafe Cloves Azuan Omar pula berkata meskipun berlaku sedikit kenaikan harga namun pihaknya memberikan nilai tambah dengan mempelbagaikan menu berbuka puasa selain menyediakan 'live band' sebagai halwa telinga kepada pelanggan.
"Sehingga kini, 50 hingga 60 peratus bagi sesetengah hari sepanjang puasa telah ditempah oleh orang ramai dan insya-Allah apabila tiba puasa, tempahan akan penuh," kata beliau sambil menambah premisnya boleh memuatkan kira-kira 250 orang pada satu-satu masa.
Jurucakap Ikhwan Kafe dan Bakeri Subang Nurul Azni Jalilah pula memberitahu pihaknya turut menerima banyak tempahan bufet Ramadan berbentuk tajaan daripada pelbagai syarikat korporat untuk anak yatim berbuka puasa.
Sementara itu, seorang pegawai eksekutif Saidatina Salwani Mohd Jasni, 30, berpendapat kenaikan harga bufet Ramadan bukan masalah besar baginya kerana beliau memahami berlaku kenaikan harga barang mentah.
"Harga yang ditawarkan masih berpatutan dengan keadaan semasa. Saya juga tidak ambil pakej bufet Ramadan yang mahal, hanya mengikut kemampuan sahaja.
"Sebelum COVID-19 melanda, saya dan keluarga selalu berbuka di hotel tetapi kali ini, atas faktor penularan kes yang masih tinggi, kekerapan (berbuka di hotel) tidak mungkin seperti dulu lagi," katanya.
-- BERNAMA