Sambutan HAWANA pengiktirafan Malaysia buat golongan wartawan

Bernama
Mei 29, 2022 14:00 MYT
HAWANA tahun ini diadakan di negeri bersejarah, Melaka yang tersenarai dalam UNESCO, dihoskan Bernama dengan kerjasama ISWAMI dan K-KOMM.
KUALA LUMPUR: Malaysia pada Ahad menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA), pengiktirafan penting buat pengamal dan industri media, yang telah menyaksikan cabaran dan peluang baharu dalam landskap media yang sentiasa berubah.
Bertemakan "Suara Jelata, Aspirasi Negara", acara itu dilihat sebagai perhimpunan terbesar wartawan dan pengamal media di negara ini.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
HAWANA tahun ini, diadakan di negeri bersejarah, Melaka yang tersenarai dalam UNESCO, dihoskan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) .
Penolong profesor di Sekolah Media, Bahasa dan Budaya, Universiti Nottingham (Kampus Malaysia), Gayathry Venkiteswaran, berkata sejak kebelakangan ini pengamal media telah melalui cabaran yang belum pernah dialami sebelum ini disebabkan revolusi digital dan teknologi.
"Pandemik (COVID-19) menunjukkan betapa pentingnya mempunyai maklumat yang boleh dipercayai dan disahkan di tengah-tengah maklumat salah tentang virus itu sendiri, vaksin dan langkah kesihatan awam yang lain," katanya.
Tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaaffar dalam ucapannya sempena HAWANA 2022 berkata industri kewartawanan di Malaysia kini memerlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan dalam mewujudkan platform dan ekosistem baharu yang lebih berdaya maju agar kelangsungannya di masa depan terus terjamin.
Johan berkata langkah itu penting memandangkan kewartawanan telah menjadi "sunset industry" dengan kemunculan media sosial dan beberapa cabaran lain sejak 2016.
"Saya fikir antara 2016 dan 2018, tidak kurang daripada 5,000 petugas media di negara ini hilang pekerjaan. Ini telah mencetuskan persoalan mengenai bentuk industri pada masa hadapan dan jadi saya berpendapat untuk kelangsungannya di masa depan, isu utama adalah untuk industri mencipta ekosistem baharu," katanya.
Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui berkata kewartawanan di Malaysia telah bertahan dan mengekalkan integritinya walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti ketidaktentuan politik dan kejatuhan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
"Ini sebenarnya manifestasi HAWANA 2022, yang bukan sahaja mengiktiraf peranan dan sumbangan wartawan malah melonjakkan institusi kewartawanan Malaysia ke tahap lebih tinggi," katanya.
Lichong, yang juga ahli Lembaga Pengelola Bernama dan Jawatankuasa HAWANA 2022, berkata kewartawanan di negara ini secara amnya berpegang kepada prinsip kebebasan akhbar, sekali gus menjadikannya relevan sepanjang masa.
Seramai 17 pemimpin utama media dari Indonesia dan wakil dari beberapa negara ASEAN dijangka menyertai sambutan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan HAWANA 2022 pada pukul 2 petang.
Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 2018.
-- BERNAMA
#Hari Wartawan Nasional #industri media #pengamal media #wartawan
;