Sambutan HAWANA 2023 iktiraf peranan media kini bermula
Bernama
Mei 27, 2023 09:30 MYT
Mei 27, 2023 09:30 MYT
IPOH: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bagi mengiktiraf peranan pengamal media di Malaysia, membuka tirainya hari ini, kali ini di Ipoh.
Bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi", sambutan yang diadakan hingga 29 Mei itu dimulakan dengan pertandingan mencari harta karun "Media Hunt HAWANA" dari Kuala Lumpur ke Ipoh yang disertai oleh kira-kira 150 peserta.
Hampir 40 kenderaan bergerak dari Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di ibu negara yang dilepaskan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Ni Ching kira-kira 8 pagi tadi.
Konvoi itu dijangka tiba di Mydin Mall Meru pada 3 petang ini, tempat berlangsungnya Karnival Mini HAWANA yang turut menawarkan pelbagai acara menarik kepada pengunjung, juga bermula hari ini.
Karnival yang akan bermula pada 10 pagi hingga 6 petang itu dimeriahkan dengan aktiviti seperti slot interaksi bersama personaliti Bernama, sesi pocket talk "sayadigital" serta sesi temu mesra bersama artis dan selebriti tempatan, selain pertandingan mewarna dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Acara itu turut disertai agensi termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), RTM, CyberSecurity Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Wartawan Sarawak (Media Sarawak), Jabatan Penerangan (JaPen), Tourism Perak, Tourism Selama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pada pukul 1 tengah hari ini, akan berlangsungnya kejohanan boling di Ipoh Bowl, Aeon Kinta City melibatkan dua kategori iaitu berpasukan yang disertai kira-kira 100 pengamal media mewakili 18 pasukan dengan sembilan daripadanya ialah media dari Perak, manakala empat lagi pemain akan berentap dalam kategori pegawai kanan.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur, namun terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 sebelum dianjurkan kembali di Melaka tahun lepas.
-- BERNAMA