Sambutan harmoni Hari Krismas di luar negara - WeMalaysia Australia
Astro Awani
Disember 26, 2016 23:43 MYT
Disember 26, 2016 23:43 MYT
Sambutan Hari Krismas di Australia disifatkan penuh dengan keharmonian bersama pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di universiti negara itu.
Wakil WeMalaysia Australia, Nino Miguel Majakin berkata, ia tetap meriah walaupun diadakan secara kecil-kecilan di beberapa kediaman pelajar yang menyambutnya.
"Sambutan Hari Natal seperti kelaziman diraikan oleh penganut beragama Kristian seluruh dunia termasuklah pelajar yang menuntut di luar negara.
"Walaupun berjauhan dengan keluarga, namun suasana Hari Natal masih ceria bila disambut bersama dengan rakan seperjuangan.
"Kita semua menyatakan rasa kesyukuran kerana dapat menyambut bersama rakan seperjuangan walaupun di perantauan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Jelasnya, suasana harmonis dapat dipupuk dengan adanya sikap bertolak ansur dan berfikiran terbuka dalam menyambut perayaan seperti Hari Krismas.
"Aktiviti memasak yang dijalankan bersama teman-teman akan menanam nilai murni sesama kita. Contohnya, juadah masakan dinikmati bersama-sama mencetuskan silaturrahim tanpa mengira bangsa dan agama.
"Sambutan ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia di luar negara masih bersatu padu meraikan sahabat dan taulan yang beragama Kristian menyambut Hari Natal dengan penuh semangat setiakawan," ujarnya.
WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).