Sambutan hari Wilayah Persekutuan 2021 dalam norma baharu

Bernama
Januari 29, 2021 13:35 MYT
Warga Wilayah Persekutuan juga digalakkan menyambut acara ini dengan cara tersendiri secara kreatif antaranya berkongsi gambar serta video di media sosial. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Meskipun masih berdepan situasi penularan COVID-19, beberapa program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 pada 1 Feb ini masih diteruskan, dengan pematuhan rapi segala prosedur operasi standard (SOP), sesuai dengan norma baharu.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata sambutan bertema 'Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin' itu akan dimulakan dengan program Wilayah Persekutuan Bermunajat selepas solat maghrib di masjid, dan surau di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan secara dalam talian malam esok.
Beliau berkata walaupun ia disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tanpa perhimpunan ramai mahupun perayaan, ia tetap akan menjadi sambutan bermakna kerana sambutan itu lebih menekankan kepada penghayatan dan budaya cakna dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.
Menurutnya antara program yang menjadi penekanan adalah pelancaran program 5MY yang bertujuan membantu golongan miskin bandar, projek rumah mampu milik Residensi Prihatin serta projek pembangunan semula bandar (urban renewal) yang dijangka memberi manfaat untuk jangka panjang.
"Penyampaian Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan juga akan dibuat secara pengumuman, dan istiadat dibuat selepas situasi PKP (sesuai dan mengizinkan)," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Annuar berkata antara program lain diatur termasuk majlis penganugerahan bagi menghargai petugas barisan hadapan COVID-19, serta penyerahan bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah secara 'penghantaran ke rumah' dan pengagihan mengikut lokaliti.
Beliau berkata warga ketiga-tiga Wilayah Persekutuan juga digalakkan memeriahkan suasana dengan menyalakan lampu bagi mewujudkan suasana 'perayaan' dan mengibarkan bendera indah di kediaman dan bangunan.
Sejarah penubuhan, pembangunan infrustruktur dan program kesejahteraan rakyat setiap Wilayah Persekutuan juga akan dipaparkan dalam bentuk digital di media sosial, laman web rasmi kementerian dan agensi berkaitan serta 'billboard' elektronik di Menara DBKL 1, Dataran Merdeka dan hadapan Wisma Perbadanan Labuan.
Warga Wilayah Persekutuan juga digalakkan menyambut acara ini dengan cara tersendiri secara kreatif antaranya berkongsi gambar serta video di media sosial dengan tanda pagar #WilayahPersekutuanWilayahPrihatin dan #kibarbenderaWP.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #DBKL #SOP #perintah kawalan pergerakan #perhimpunan #COVID-19 #PKP #Putrajaya #Kuala Lumpur #Labuan #Hari Wilayah
;