Sambutan Hari Wilayah meriah dengan 20,000 warga kota

Astro Awani
Februari 2, 2013 18:39 MYT
Lebih 20,000 orang membanjiri Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur untuk bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013.
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di stadium itu disambut laungan 1Malaysia oleh orang ramai yang membanjiri stadium sejak awal pagi, serta diiringi dengan dendangan lagu 1M4U.
Najib kemudiannya membuat pemeriksaan kawalan kehormat oleh 60 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sambutan bertemakan ‘Perpaduan Teras Kesejahteraan Wilayah Persekutuan’ dimulakan dengan persembahan padang dan udara.
Acara penuh berwarna-warni disertai 1,200 remaja bertemakan 'Gegaran Wilayah' menampilkan aspirasi generasi baru Wilayah Persekutuan.
Sambutan turut dimeriahkan dengan acara perbarisan yang disertai 8,900 peserta daripada 143 kontinjen terdiri daripada pelajar, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Hari Wilayah Persekutuan 2013 #Stadium Bola Sepak Cheras
;