Sambutan Hari Wesak meriah walau beberapa acara utama tidak dilaksanakan

Bernama
Mei 15, 2022 16:09 MYT
Penganut agama Buddha bersama anggota keluarga masing-masing mula mengunjungi tokong pada awal pagi bagi menjalankan upacara keagamaan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Hari Wesak disambut meriah dalam kalangan penganut agama Buddha walaupun beberapa acara utama tidak dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan dan perhimpunan ramai.
Tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati penganut agama Buddha bersama anggota keluarga masing-masing mula mengunjungi tokong pada awal pagi bagi menjalankan upacara keagamaan dan memberi penghormatan kepada Siddharta Gautama, pengasas agama itu.
Mereka menjalankan upacara keagamaan dengan menyalakan lilin serta membawa pelbagai sebagai melambangkan kelahiran, kesedaran dan kematian Gautama Buddha.
Pekarangan Tokong Buddha Maha Vihara, Brickfields di sini mula dipenuhi orang ramai seawal pukul 8 pagi dan mereka beratur bagi menjalankan aktiviti keagamaan seperti pemberian bunga, menyalakan lilin serta colok selain memberi sumbangan kepada tokong.
Presiden Persatuan Sasana Abhiwurdhi Wardana bagi Tokong Buddha Maha Vihara Sirisena Perera berkata tiga acara utama tidak diadakan pada Hari Wesak kali ini bagi mengurangkan kesesakan dan mengawal pengunjung yang datang.
"Tiga acara utama itu ialah kempen menderma darah, mengagihkan makanan dan minuman percuma serta perarakan, kerana biasanya pada Hari Wesak, di sebelah petang akan ada perarakan yang disertai ribuan penganut Buddha," katanya ketika ditemui di tokong itu, hari ini.
Sirisena berkata pihaknya hanya menjangka kehadiran 50 peratus daripada jumlah biasa sebelum pandemik iaitu sekitar 30,000 hingga 40,000 pengunjung, datang ke tokong berkenaan.
Di SELANGOR, Timbalan Ketua Bikuni (guru agama) Tokong Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom, Kuala Langat, Man Hui, 60, berkata penganut Buddha dan pengunjung mula memenuhi pusat ibadah itu seawal pukul 8 pagi untuk upacara sembahyang Hari Wesak.
"Kita jangka lebih 5,000 pengunjung datang ke sini sebab sambutan Hari Wesak di tokong ini diadakan dua hari bermula semalam. Sebelum COVID-19, kira-kira 10,000 penganut Buddha dari dalam dan luar Selangor datang bersembahyang di sini.
"Hari ini ada upacara sembahyang bermula 10 pagi sehingga 6 petang, upacara mandi Buddha secara fizikal, dan majlis doa untuk kebaikan bayi," katanya.
Di MELAKA, penganut Buddha menyambut Hari Wesak sejak tengah malam tadi apabila ada tokong yang membuat acara pengiraan detik (countdown) dan pagi ini Tokong Cheng Hoon Teng di Jalan Tokong mengadakan pengagihan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Di KEDAH, masyarakat Siam teruja dapat melakukan upacara keagamaan di Wat Siam Teluk Wanjah, di Alor Setar selepas hampir dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan pandemik COVID-19, manakala di PERAK, Tokong Wat Siribunyamagaram di Jalan Tambun antara kuil di sekitar Ipoh, yang melakukan upacara keagamaan sempena sambutan itu.
Di KELANTAN, walaupun tiada sambutan Hari Wesak secara besar-besaran, beberapa wat Siam di sekitar Tumpat terus dikunjungi penganut Buddha.
Tinjauan Bernama di Wat Photivihan di Kampung Jambu, yang terkenal dengan Sleeping Buddha atau patung Buddha yang sedang tidur bersaiz 40.9 meter panjang dengan ketinggian 10.9 meter, menerima kunjungan seawal 8.30 pagi.
Selain itu sebuah lagi rumah ibadat di Tumpat, Wat Machimmaram di Kampung Jubakar yang menempatkan patung Buddha duduk turut menerima kunjungan orang ramai.
Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berharap tema Hari Wesak tahun ini iaitu 'menggalakkan keharmonian melalui sikap saling hormat-menghormati dan tolong-menolong', akan memberi inspirasi kepada penganut Buddha dan agama lain untuk bersatu.
"Semasa kita menangani pandemik COVID-19, sangat jelas bahawa empati, kerendahan hati dan perpaduan penting untuk kesejahteraan rakyat. Saya berharap dengan usaha berterusan, kita akan berjaya memerangi virus ini," katanya dalam perutusan Hari Wesak.
-- BERNAMA
#Hari Wesak #penganut buddha #perayaan #tokong
;