Sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 8 Sept

Bernama
Ogos 25, 2014 22:18 MYT
MERIAH: Rohani bersama para wanita ketika menerima sekuntum bunga mawar daripada Setiausaha Akhbarnya, Mohamad Shahren Mohamad Yusri sebagai symbol pelancaran sambutan Hari Wanita 2014 di Putrajaya hari ini. - fotoBERNAMA
Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan Ke-52, yang diraikan hari ini, akan diadakan pada 8 Sept depan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata sambutan itu akan diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya dan dijadual dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
"Sambutan ini diatur agak lewat memandangkan negara masih lagi bersedih dengan tragedi MH17," katanya pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini pada Isnin.
Beliau berkata, Hari Wanita disambut sebagai menghargai wanita yang bersama-sama membangunkan negara sehingga berjaya mencapai kemajuan yang membanggakan.
Tema sambutan tahun ini ialah 'Wanita Pendukung Aspirasi Negara' bagi membuktikan wanita bekerjaya juga cemerlang dalam bidang yang dikecapi, katanya.
Pada majlis sama, Rohani turut melancarkan penerbitan buku jurnal Institut Pengupayaan Wanita NAM (NIEW) 2013 bertemakan wanita dan kepimpinan.
Ia hasil kompilasi penyelidikan penulis-penulis dari Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) termasuk Malaysia.
"Penerbitan ini diharap dapat memberi rujukan khususnya kepada pembuat dasar, ahli akademik, usahawan dan tokoh korporat wanita bagi meluaskan pemahaman mengenai isu wanita dan kepimpinan," katanya.
#hari wanita #Rohani Abdul Karim
;