Sambutan Hari Seniman hargai sumbangan P. Ramlee, Seniman Negara

Bernama
Mac 22, 2022 15:33 MYT
Hari Seniman Negara yang disambut hari ini sempena tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
KUALA LUMPUR: Hari Seniman Negara yang disambut hari ini sempena tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bukan sahaja bertujuan memperingati jasa dan sumbangan seniman agung tanah air itu, malah merupakan salah satu landasan untuk memperkukuh peranan seni serta budaya.
Di PERAK, sambutan diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Ipoh dan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Munawati Yaacob serta Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Perak. Hasan Ashaari Abu Bakar.
Nolee Ashilin berkata, sambutan itu dapat mewujudkan masyarakat yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa khususnya ke aras penyatuan Keluarga Malaysia.
"Program hari ini sangat signifikan, kita meraikan penggiat-penggiat seni tempatan yang dilihat adalah seniman dalam bidang masing-masing," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan itu.
BACA: #PeristiwaHariIni: Seniman agung Tan Sri P Ramlee dilahirkan
BACA: Hari Seniman Negara ditukar pada 22 Mac
Di PAHANG, sambutan diadakan di Auditorium Darul Makmur Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, di Kuantan dengan dihadiri ahli Persatuan Pertubuhan Karyawan Seni Pahang, Majlis Seni Mempertahankan Diri Pahang, Anak Kayan, Kumpulan Muzik Asli Gemala Sari dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dalam ucapan perasmiannya berkata, seniman memainkan peranan dalam membentuk sahsiah masyarakat terutama dalam dunia serba mencabar ketika ini.
Di MELAKA, sambutan dalam skala kecil sangat bermakna lebih-lebih lagi buat pelakon Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, penggiat kebudayaan Peranakan Baba dan Nyonya, Tan Chai Eng serta Penggiat Kebudayaan Peranakan Chetti, S. T. Rajah Jan, kerana menerima sumbangan daripada Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.
Selain itu, Program Ziarah Kasih ke rumah pelakon Roslan Salleh turut dilakukan bagi menghargai sumbangannya terhadap industri seni tanah air.
Terdahulu Ngwe dalam ucapannya berkata penghargaan yang diberikan kepada veteran bertujuan menghargai sumbangan mereka dalam usaha mengangkat seni budaya di Melaka tidak kira di pentas lakonan atau teater.
"Dengan penglibatan anak muda diharap ia dapat meningkatkan lagi industri seni negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Seniman. - BERNAMA
#P Ramlee #Hari Seniman Negara #seni budaya #Keluarga Malaysia
;