Sambutan Hari Malaysia simbolik kesepakatan dan perpaduan - Awang Tengah

Syafik Shukri Jalil, Nuzuluddin Abdul Razak
September 16, 2020 05:42 MYT
Amar Awang Tengah berkata hubungan akrab antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak memperlihatkan perjalanan yang jelas untuk memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63.
Sambutan Hari Malaysia adalah sebuah acara yang menjadi simbolik kepada kesepakatan yang sangat penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata hubungan akrab antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak memperlihatkan perjalanan yang jelas untuk memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kesepakatan ini penting dalam menyuntik semangat memastikan apa jua yang dilaksanakan berlandaskan kepada Perlembagaan Malaysia untuk menghormati Perjanjian Malaysia (MA63),” kata Awang Tengah.
Awang Tengah yang juga merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Sarawak juga berpendapat, kehadiran pemimpin utama negara pada malam sambutan itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna.
“Malaysia akan menjadi sebuah negara yang terus maju berasaskan semangat perpaduan yang begitu kukuh.
“Inilah tonggak untuk kita memastikan Malaysia akan terus berjaya supaya negara terus stabil dan perpaduan kita dapat dikukuhkan,” tambahnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata penganjuran Hari Malaysia kali ini cukup bermakna.
Jelasnya, di saat kerajaan masih berperang dengan COVID-19, semangat perpaduan masih mampu terjalin dalam sebuah negara dengan sifatnya yang bersatu.
“Kerajaan Sarawak dan Sabah berupaya mengingat kembali nostalgia dahulu di samping memperkukuh dan bertekad untuk melaksanakan sebarang bentuk perjanjian dengan penuh tertib”, katanya.
Awang Tengah dan Dr Zulkifli Mohamad ditemui selepas sambutan Hari Malaysia 2020 yang diadakan di Stadium Tertutup Sibu pada Rabu.
#Amar Awang Tengah Ali Hassan #Hari Malaysia #Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Sarawak #Perjanjian Malaysia 1963 #Perlembagaan Malaysia #Sabah dan Sarawak #Zulkifli Mohamad Al-Bakri
;