Sambutan Hari Malaysia peringkat Pahang diadakan di Taman Gelora
Bernama
September 11, 2013 16:09 MYT
September 11, 2013 16:09 MYT
Perayaan Hari Malaysia peringkat negeri Pahang pada 16 September ini akan disambut dengan pelbagai acara menarik membabitkan semua golongan masyarakat di Taman Gelora di sini.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional negeri Pahang Fairojibanu Zainal Abidin berkata, sambutan itu adalah bagi menerapkan semangat muhibah di kalangan masyarakat.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dijangka merasmikan sambutan itu yang akan dihadiri lebih 5,000 orang.
"Antara pengisian pada hari sambutan itu nanti adalah pertandingan jogaton, pertandingan melibatkan kanak-kanak prasekolah selain persembahan kebudayaan dan pertunjukan auto," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.
Sementara itu, Fairojibanu berkata, acara yang bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari itu turut menyediakan beberapa cabutan bertuah kepada pengunjung dengan hadiah menarik seperti telefon bimbit dan barangan elektrik.
Bagi memberkati sambutan Hari Malaysia, satu majlis tahlil dan doa selamat akan diadakan pada 15 September di Masjid Tanjung Api di sini.