Sambutan Hari Malaysia boleh ditonton secara langsung di saluran arus perdana

Bernama
September 14, 2023 19:10 MYT
Fahmi berkata, skrin LED juga akan disediakan di luar Stadium Perpaduan untuk tontonan warga Kuching yang mahu mengikuti sambutan itu. - Gambar fail
KUCHING: Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Stadium Perpaduan, di sini, pada Sabtu boleh ditonton secara langsung di semua saluran televisyen serta media sosial arus perdana.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata selain itu, skrin LED juga akan disediakan di luar stadium itu untuk tontonan warga Kuching yang mahu mengikuti sambutan itu.
"Bagi para jemputan, boleh masuk stadium mulai pukul 7 malam manakala Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dijangka tiba pada 8.30 malam.
Untuk makluman, kemuncak sambutan itu adalah persembahan bunga api," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohamad Asfia di Astana Negeri di sini, hari ini.
Fahmi berkata selain jualan makanan, turut diadakan adalah Jualan Rahmah yang bermula esok sehingga Sabtu, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan acara.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu, berkata raptai penuh sambutan itu akan diadakan pada malam ini bagi memastikan kelancaran program.
"Persiapan serta persediaan sambutan kini sudah di peringkat akhir, kami berdua sendiri (Julaihi dan Fahmi) serta ahli jawantankuasa induk akan hadir menyaksikan raptai penuh malam ini," katanya.
-- BERNAMA
#Hari Malaysia #siaran langsung #KKD #Fahmi Fadzil
;