Sambutan Hari Malaysia 2024: Cabaran dihadapi cerminan perpaduan rakyat Malaysia

Astro Awani
September 13, 2024 10:50 MYT
Wan Saidatul berkata, persiapan rapi sedang giat dilakukan agar sambutan berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan serta agensi di peringkat persekutuan dan kerajaan negeri. - Foto Kementerian Komunikasi
KUALA LUMPUR : Dalam menjayakan sambutan Hari Malaysia 2024, pelbagai cabaran dan rintangan perlu dihadapi pihak penganjur termasuk jawatankuasa yang terlibat.
Namun, cabaran yang ditempuhi itu mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia secara keseluruhannya selaras dengan tema sambutan, Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat, Kementerian Komunikasi, Wan Saidatul Shafina Mohd Amin, semarak perpaduan itu bukan hanya dilihat sempena sambutan, malah dalam kehidupan harian juga.
“Untuk menjayakan sambutan Hari Malaysia pastinya pelbagai jawatankuasa ditubuhkan bagi menjalankan peranan dan tugas masing-masing. Dari sekecil-kecil sehingga ke jawatankuasa yang besar tugasnya.
“Seperti yang dijangkakan lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir pada sambutan kali ini dan ia menuntut pelbagai pihak untuk menjayakan sambutan tersebut.
“Dari kerjasama ini kita dapat melihat bagaimana perpaduan itu dicerminkan dalam tugasan masing-masing. Perpaduan itu tidak hanya diraikan semasa sambutan, namun disemarakkan dalam kehidupan seharian,” katanya dalam AWANI Pagi pada Jumaat.
AWANI Pagi: Sambutan Hari Malaysia 2024 di Sabah
Jelasnya lagi, persiapan rapi sedang giat dilakukan agar sambutan berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan serta agensi di peringkat persekutuan dan kerajaan negeri.
Pelbagai acara persembahan telah disusun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pengunjung antaranya tarian Sambut Tamu “Heart of Sabah” dan persembahan khas bertajuk “Rumah MADANI Jiwa Merdeka” yang memfokuskan nilai-nilai patriotisme, kemerdekaan dan perpaduan antara pelbagai etnik serta budaya di Malaysia.
Pada masa sama, Shafina yakin sambutan Hari Malaysia 2024 pasti dapat menggelorakan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik berasaskan aspirasi Malaysia MADANI.
Sambutan Hari Malaysia 2024 akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah bermula jam 6 petang pada 16 September ini.
#Hari Malaysia #Kota Kinabalu #Malaysia Madani #Wan Saidatul Shafina Mohd Amin
;