Sambutan Hari Malaysia 2020: Jangan hadir jika tidak diundang - KP Sibu

Syafik Shukri Jalil
September 14, 2020 20:06 MYT
STANLEY: Jadi kepada mereka yang tidak diundang, diharap anda boleh kerjasama, janganlah menghadirkan diri, tonton sahaja siaran langsung sambutan ini di rumah. - Foto Astro AWANI
Orang ramai yang tidak diundang untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu diingatkan untuk tidak menghadirkan diri ke acara tersebut.
Demikian saranan Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit pada Rabu.
Tegasnya langkah ini bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) terus dipatuhi sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Pada mulanya jemputan seramai 1,000 orang jadi kita telah menyediakan penugasan untuk 1,000 orang tetapi pada minggu lalu jumlah ini dikurangkan kepada 500 orang sahaja, tetapi penugasan untuk keselamatan pada masa Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu ini tetap berjalan seperti dirancang.
“Jadi kepada mereka yang tidak diundang, diharap anda boleh kerjasama, janganlah menghadirkan diri, tonton sahaja siaran langsung sambutan ini di rumah,” katanya.
Tambahnya, seramai 180 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerahkan untuk menjaga kawalan keselamatan sepanjang acara berlangsung pada Rabu ini.
Mereka akan turut dibantu pasukan trafik dari Zon Tengah dan daerah-daerah berdekatan Sibu serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
#ACP Stanley Jonathan Ringgit #Hari Malaysia 2020 #Jabatan Sukarelawan Malaysia #Pasukan Gerakan Am #PGA #Polis Daerah Sibu #RELA #Stadium Tertutup Sibu
;