Sambutan hari lahir Tun Abdul Taib disambut meriah dalam suasana norma baharu

Astro Awani
Oktober 10, 2020 18:19 MYT
Jasa dan pengorbanan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada pembangunan sosial, masyarakat dan ekonomi tidak boleh disangkal. FOTO: Unit Komunikasi Awam Sarawak
KUCHING: Sambutan ulang tahun kelahiran ke-84 Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diraikan secara sederhana tetapi cukup meriah dan sarat dengan pengisian.
Tidak seperti tahun-tahun ini, acara yang berlangsung di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri Dun (DUN) itu diraikan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan amalan norma baharu.
Menurut Menteri Muda Bertanggungjawab, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, walaupun sambutan tahun ini berbeza namun semangat perpaduan berjaya diserlahkan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
“Jawatankuasa pengelola telah mengadakan perbincangan sejak beberapa bulan yang lalu dan banyak perkara tentang suasana sambutan terutama mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) diusulkan dan berjaya dilaksanakan,” kata Abdul Rahman.
Selain itu tambahnya, jasa dan pengorbanan Tun Pehin Sri Abdul Taib kepada pembangunan sosial, masyarakat dan ekonomi tidak boleh disangkal.
Perkara itu dapat dilihat dengan pembangunan berskala besar yang turut diteruskan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Sejak menjadi Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1981 sehingga menjawat jawatan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri banyak menabur bakti kepada negeri Sarawak.
“Ini dapat disaksikan terutamanya dalam membangunkan negeri Sarawak dalam skala yang lebih besar,” tambahnya.
Sambutan acara ini telah dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib yang terdiri daripada seramai 103 anggota berlainan pangkat dan tiga pegawai Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Hadir sama dalam acara tersebut ialah Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri serta barisan kepimpinan kabinet negeri serta Persekutuan.
#Sarawak #Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud #Prosedur Operasi Standard SOP #Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi #ulang tahun kelahiran #Rejimen Askar Melayu Diraja #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Toh Puan Ragad Kurdi Taib
;