Sambutan Hari Krismas lebih meriah tahun ini

Bernama
Disember 25, 2022 16:52 MYT
Gereja Catholic Church and The Holy Rosary berusia 119 tahun di Jalan Tun Sambanthan dipenuhi kira-kira 500 penganut agama itu seawal jam 8.30 pagi. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Krismas tahun ini lebih meriah dengan penganut agama Kristian di seluruh negara dilihat memenuhi gereja sejak awal pagi bagi menghadiri upacara keagamaan mereka hari ini.
Tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati penganut agama Kristian rata-rata riang gembira berpakaian berwarna-warni dan kebanyakan mereka turut memakai pelitup muka bagi mengelak risiko dijangkiti COVID-19 ketika ke gereja walaupun ia tidak diwajibkan.
Di ibu negara, gereja Catholic Church and The Holy Rosary berusia 119 tahun di Jalan Tun Sambanthan itu sudah dipenuhi kira-kira 500 penganut agama itu pada 8.30 pagi bagi mendengar misa gereja daripada paderi Father Dominic Tan.
Ketika ditemui, ahli kariah gereja berkenaan Christy Loh, 69, berkata sambutan kali ini lebih meriah kerana sebelum ini mereka menyambut acara keagamaan itu secara dalam talian disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik.
"Kali ini, gereja telah mengadakan upacara keagamaan pada lewat malam semalam dan juga pagi ini bagi sambutan Hari Krismas," katanya.
Di PERAK, penganut Kristian dilihat mula mengunjungi Church of Our Lady of Lourdes di Ipoh pada 9 pagi sempena sambutan Hari Krismas bersama ahli keluarga dan saudara dalam suasana meriah.
Pengunjung yang turut mengenakan pelitup muka juga tidak putus-putus mengunjungi gereja berkenaan bagi menjalankan upacara keagamaan yang berlangsung sehingga pukul 10.30 pagi.
Di JOHOR, sambutan Hari Krismas tidak kurang meriahnya dengan penganut Kristian tiba di Gereja Immaculate Conception di Johor Bahru, seawal 7.30 pagi dengan masing-masing berpakaian sopan dan berwarna-warni.
Paderi Edward Rayappan berkata perayaan tahun ini lebih meriah dan dianggarkan seramai 4,000 orang hadir ke gereja itu secara berperingkat bagi melaksanakan upacara keagamaan.
Beliau berkata meskipun perayaan itu diraikan untuk berkongsi kegembiraan, orang ramai perlu turut mendoakan mangsa-mangsa yang terjejas banjir di beberapa negeri terlibat dan tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Sementara itu, pasangan suami isteri S. Selvam, 39, dan D. Kaliani, 31, berkata perayaan Krismas tahun ini menyatukan mereka dengan keluarga setelah tidak dapat meraikannya pada tahun lepas akibat penutupan sempadan.
"Saya dan isteri bekerja di Singapura, jadi tahun lepas tidak dapat balik sambut Krismas bersama keluarga sebab sekatan. Tahun ini memang rasa gembira sangat," kata bapa kepada seorang cahaya mata berusia tiga bulan itu.
Selain itu, sambutan Hari Krismas di SARAWAK tetap meriah walaupun terdapat beberapa kawasan di selatan negeri itu masih dalam situasi banjir.
Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya Kuching mendapati kawasan tumpuan sesak dengan orang ramai yang pulang ke Bumi Kenyalang untuk menyambut perayaan itu bersama keluarga.
Pada hari ini juga, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluangkan masa menghadiri rumah terbuka Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah di Kuching.
Di PULAU PINANG, Gereja St Anne di Seberang Perai dan Gereja St. George's Anglican di bahagian pulau menjadi tumpuan penganut agama Kristian termasuk warganegara asing mengikuti upacara keagamaan mereka sempena perayaan hari Krismas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Chong Eng berkata kebanyakan gereja di negeri itu telah dipenuhi penganut agama Kristian sejak semalam untuk melakukan upacara keagamaan.
Beliau berkata perayaan itu disambut secara sederhana namun meriah di negeri berkenaan dengan amalan kunjung-mengunjung yang menjadi tradisi sambutan perayaan.
"Saya berharap semua penganut Kristian menyambut Hari Natal bersama ahli keluarga dan rakan-rakan tersayang dengan kegembiraan, kebaikan dan dalam keadaan aman," katanya ketika dihubungi hari ini.
Di SABAH, sambutan Hari Krismas tetap meriah dalam kalangan penganut agama Kristian di negeri itu meskipun sesetengah mereka terpaksa meraikannya di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan fenomena air pasang besar.
Peniaga makanan laut Leon Vui Kat, 48, adalah antara mereka yang dipindahkan ke PPS Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pingan, Pitas akibat air pasang besar dan terpaksa merayakan Krismas bersama penghuni lain di PPS itu.
"Sedih terpaksa tinggalkan rumah tetapi di sini (PPS) orang Sabah, tanpa kira kaum, budaya atau agama kita gembira sambut Krismas sama-sama. Tiada pokok Krismas atau hadiah tetapi bila semua orang ucapkan selamat Hari Krismas dan bersama kita susah senang, itu buat kita gembira," katanya.
Sementara itu, beberapa pemimpin di negeri itu menganjurkan rumah terbuka di Kota Kinabalu sempena perayaan berkenaan antaranya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
-- BERNAMA
#sambutan hari krismas #2022 #COVID-19 #banjir
;