Sambutan Hari Krismas bersama keluarga pelbagai agama, bangsa meriah
Bernama
Disember 25, 2020 00:24 MYT
Disember 25, 2020 00:24 MYT
IPOH: Kediaman seorang lelaki di Taman Seri Desa di sini yang pada kebiasaannya sunyi kerana penghuninya hidup berseorangan, berubah menjadi riuh rendah dengan kehadiran 13 daripada 16 adik beradiknya serta keluarga masing-masing, sempena sambutan Hari Krismas pada Jumaat.
Stanley Nelson Savariar, 49, yang belum pernah berkahwin dan tinggal seorang diri, berasa amat gembira dan teruja apabila rumahnya menjadi giliran tempat sambutan Hari Krismas tahun ini, untuk keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa itu berkumpul.
"Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan ini, kerana ia amat bermakna walaupun terdapat keluarga dari pelbagai agama dan bangsa, antaranya Hindu dan Punjabi, namun hubungan kami amat rapat dan sambutan hari ini amat meriah. Ada juga yang beragama Islam tetapi tidak dapat hadir.
"Kami tidak menyambut Hari Krismas tahun lepas kerana salah seorang kakak saya meninggal dunia ketika itu. Kami semua sudah lama tidak berjumpa sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada Mac lepas, kerana ada yang tinggal di ibu negara, Pulau Pinang dan Kedah," katanya ketika ditemui Bernama.
Anak ke-14 daripada 16 beradik itu berkata, adalah menjadi tradisi yang diajar oleh mendiang ibu bapanya supaya Hari Krismas disambut secara bergilir di rumah adik beradik setiap tahun, untuk mengukuhkan tali persaudaraan.
"Saya amat bersyukur kerana dapat berkumpul walaupun seorang daripada abang yang berada di Sabah tidak dapat menyertai sambutan di sini bersama-sama, disebabkan bimbang akan penularan wabak COVID-19.
"Bagaimanapun, kami tetap memelihara kebersihan diri bagi memastikan kesihatan dan keselamatan ahli keluarga, antaranya setiap orang diwajibkan mandi air kunyit yang dipercayai dapat membersihkan diri dari segala kuman dan kotoran," katanya yang bekerja sebagai foto jurnalis.
Menurut Stanley persiapan kali ini berlangsung dengan meriah antaranya menghias pokok krismas menggunakan pokok sebenar, memasak juadah beramai-ramai, melakukan pelbagai aktiviti permainan dan bernyanyi.
-- BERNAMA