Sambutan Hari Kebangsaan luar biasa, satu padukan rakyat Malaysia
Bernama
Ogos 31, 2024 15:10 MYT
Ogos 31, 2024 15:10 MYT
PUTRAJAYA: Barisan menteri Kabinet menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di sini hari ini adalah luar biasa dan berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau budaya.
Ringkasan AI
- Barisan menteri Kabinet memuji sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang dianggap luar biasa dan berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama, atau budaya. Kehadiran ramai rakyat Malaysia menunjukkan semangat kebersamaan yang kuat.
- Sambutan dihadiri lebih 100,000 orang dan menampilkan pelbagai persembahan menarik yang menunjukkan kreativiti rakyat dalam menzahirkan semangat patriotisme. Acara berjalan lancar dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
- Menteri-menteri seperti Gobind Singh Deo, Dr Dzulkefly Ahmad, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Dr Zaliha Mustafa memuji penganjuran sambutan dan menekankan kepentingan semangat kemerdekaan dalam memacu negara ke tahap lebih tinggi.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kehadiran rakyat Malaysia yang sangat ramai membuktikan sambutan berkenaan meriah serta menonjolkan semangat kebersamaan.
Beliau berkata seluruh peringkat masyarakat dilihat bersama Kerajaan Perpaduan dan ia satu perkara yang baik dalam memacu negara ke tahap lebih tinggi.
"Kehadiran yang sangat baik hari, semangat kemerdekaan itu sangat penting untuk kita bawa negara ke depan," katanya kepada Bernama.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-67 kali ini sangat membanggakan dengan kehadiran yang luar biasa.
"Kita mahukan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada ketika ini mengizinkan kerajaan untuk pacu pembangunan negara," katanya.
Bagi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, pelbagai persembahan menarik ditonjolkan dalam sambutan kali ini membuktikan rakyat kreatif dalam menzahirkan semangat patriotisme.
"Alhamdulilah ia satu sambutan yang cukup meriah dan seawal tengah malam, ada ramai rakyat berkhemah untuk lihat persembahan," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau teruja melihat kebersamaan rakyat Malaysia dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan hari ini.
"Nampak sambutan sangat baik, tahniah kepada Menteri Fahmi Fadzil atas penganjuran sambutan kali ini. Selamat Hari Kemerdekaan," katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka di sini berjalan lancar dengan kehadiran lebih 100,000 orang pengunjung.
Memasuki edisi keenam penganjurannya di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dianjurkan buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.
-- BERNAMA